Majoriti kemenangan BN turun sebab calon difitnah – Zahid
BN menang pada PRK Pelangai namun mencatatkan penurunan majoriti.

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa penurunan majoriti kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, disebabkan parti pembangkang melemparkan fitnah kepada calonnya.
Mengakui penurunan itu suatu yang biasa dalam mana-mana PRK, Ahmad Zahid menyifatkan, dalam mana-mana PRK jika calon ‘diterjah’ dengan fitnah dan isu pasti menyebabkan undian mereka terjejas.
Justeru itu, beliau menyifatkan kemenangan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam adalah besar dengan majoriti 2949.
“Dalam mana-mana pun PRK, siapa pun calon jika diterjah fitnah dan isu, pasti majoriti mereka akan terjejas tapi kemenangan itu bukan kemenangan yang kecil,” katanya keapda media selepas melancarkan Program Halal On Track di Universiti Malaya, hari ini.
Beliau mengulas kemenangan calon BN dengan majoriti yang menurun berbanding PRU15 yang mana calon mereka, Datuk Seri Johari Harun memperoleh majoriti 4,048 undi dalam persaingan empat penjuru.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu. — Berita Harian