‘Mak ayam’ ditahan, eksploitasi warga Tanzania jadi pekerja seks
Mak ayam warga Tanzania itu berusia 32 tahun dan dikenali sebagai 'madam'.
KUALA LUMPUR 31 Jan. – Seorang wanita warganegara Tanzania yang bertindak sebagai ‘mak ayam’ dengan mengeksploitasi rakan senegara untuk tujuan pekerja seks berjaya ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan memaklumkan, ‘mak ayam’ warga Tanzania berusia 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ itu disyaki menyalahgunakan kemudahan pas pelajar.
Menurut Ruslin, operasi yang bermula sekitar pukul 4.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Beliau berkata, seorang wanita juga warganegara Tanzania yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks telah berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut.
Jelasnya, wanita berusia 29 tahun itu diselamatkan berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur dan risikan yang dijalankan.
Ruslin berkata, pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Katanya, pasukan operasi telah mengenalpasti sebuah premis rumah pangsapuri yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket.
“Suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama pada awalnya sehingga memaksa pasukan operasi menyerbu masuk ke premis tersebut.
“Wanita tersebut telah dikawal oleh ahli sindiket yang juga warganegara Tanzania untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks di samping pasport turut dipegang dan disimpan tanpa kerelaan.
“Wanita tersebut diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara (IPO),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pihaknya telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Beliau memaklumkan, Imigresen akan terus bekerjasama dengan pihak kedutaan Tanzania dalam mengesan dalang dan ahli sindiket yang lain berhubung maklumat terdapat kegiatan pemerdagangan orang dalam kalangan warganegara tersebut.
Ruslin menegaskan, pihaknya sentiasa memandang serius perkara ini dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan serta akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 670.
“Modus operandi sindiket yang dikenalpasti adalah dengan menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.
“Selain itu, ahli sindiket dikesan sering berpindah randah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak kegiatan jenayah mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya. — Xklusif