Berita

Malaysia edar satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia

KUALA LUMPUR, Jan 28 — Malaysia akan mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia, sebagai tindak balas terhadap tindakan membakar kitab suci umat Islam itu di Sweden, baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses cetakan sejuta al-Quran itu akan dilaksanakan Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, di sini bermula hari ini.

Menurutnya, pendekatan itu disifatkan lebih berfaedah sebagai langkah menyebarkan kesedaran mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.

“Selain pembabitan kerajaaan Malaysia dan Yayasan Restu, usaha ini turut memerlukan sokongan serta kerjasama setiap negara Islam.

“Kita bantah keras kegilaan manusia yang sanggup membakar kitab suci al-Quran. Daripada membakar satu al-Quran, Insya-Allah Malaysia melalui Yayasan Restu akan berusaha secara berperingkat mencetak dan menyebarkan satu juta naskhah al-Quran.

“Itu jawapan terbaik menghadapi kegilaan orang dan Insya-Allah, ia bukan sahaja untuk dibaca tetapi dapat menjadikan bahan untuk dihayati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar anjuran Yayasan Restu di Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan sumbangan bernilai RM2 juta kepada pihak Nasyrul Quran.

Mengulas peranan negara Islam lain, Perdana Menteri menyatakan akan menghubungi negara berkaitan supaya usaha mengedarkan al-Quran dalam jumlah besar dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

Katanya, sebahagian besar peruntukan adalah daripada kerajaan dan dibuat secara berperingkat termasuk wakaf.

“Saya juga akan rujuk Menteri Agama dan tentunya menghubungi rakan kita di luar negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button