Malaysia, Iran gesa lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk Palestin
Malaysia dan Iran juga mahu OIC memainkan peranan lebih besar.

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Malaysia dan Iran menggesa supaya lebih banyak bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Palestin dan mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan lebih besar, khususnya membabitkan isu kemanusiaan sejagat.
Perkara itu ditegaskan kedua-dua negara dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi ketika Sidang Kemuncak Tergempar OIC Kelapan antara negara Liga Arab dan OIC bagi membincangkan serangan serta kekejaman berterusan Zionis Israel terhadap Palestin, semalam.
“Dalam pertemuan penuh bermakna ini, kami sebulat suara bersetuju supaya kekejaman Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.
“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa OIC, termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta,” kata Perdana Menteri melalui aplikasi X, hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mempertingkat hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.
“Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan besar dalam dunia Islam.
“Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing,” katanya.
Perdana Menteri menyatakan, beliau turut mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama.
Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran berjumlah RM3.68 bilion, meningkat sebanyak 40.2 peratus berbanding 2021 dan kelapa sawit adalah produk utama perdagangan Malaysia dan Iran. — Xklusif