Malaysia pelajari kejayaan China tingkat rangkaian 5G
Status pelaksanaan 5G di China yang ketika ini meliputi lebih 90 peratus di kawasan berpenduduk, menarik minat Malaysia untuk mempelajari kejayaan negara Tembok Besar itu dalam meningkatkan kesalinghubungan terutama di kawasan pedalaman.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ia terutama ketika negara sedang melaksanakan model dwirangkaian Internet berkelajuan tinggi 5G, bagi menyediakan perkhidmatan telekomunikasi berkualiti dan inklusif kepada rakyat.
Perkara itu antara yang dibincangkan Fahmi dalam mesyuarat dua hala bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanlong, di sini, yang berlangsung hampir 30 minit semalam.
“Dalam pertemuan ini, kita berkesempatan membincangkan beberapa perkara termasuk status pelaksanaan rangkaian 5G di China dan Malaysia, cabaran dihadapi dan beberapa penambahbaikan atau dapatan yang boleh kita pelajari antara satu sama yang lain,” katanya kepada BERNAMA selepas pertemuan itu.
Fahmi berkata, antara masalah dihadapi di Malaysia ialah pemasangan gentian sebagai backhaul di kawasan terpencil, luar bandar, pulau, bukit-bukau.
Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh mengenai teknologi direct-to-cell membabitkan satelit orbit rendah bumi (LEO) yang dilihat mampu membantu mengatasi masalah Internet di kawasan terpencil serta kawasan yang tiada sambungan Internet.
Berdasarkan data Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, pada ketika ini bilangan stesen pangkalan 5G di negara itu melebihi 4.04 juta pada akhir Ogos.
Angka itu menyumbang 32.1 peratus daripada jumlah stesen pangkalan mudah alih di seluruh China, dengan bilangan pelanggan mudah alih 5G di negara itu mencecah 966 juta.
Di Malaysia setakat ini, sebanyak 7,191 tapak 5G siap dibangunkan di seluruh negara dengan 564 di Sabah dan 551 di Sarawak, manakala tahap liputan mencecah 81.9 peratus di kawasan berpenduduk.
Fahmi berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan cabaran inovasi 5G yang menyaksikan pihak vendor sebagai penyedia kemudahan peralatan bagi 5G dalam mengadaptasi dan menghasilkan inovasi.
“Ini sangat menarik, saya minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) jalankan perbincangan lebih mendalam termasuk dalam perkara seperti kabel bawah laut yang perlu kita teliti dan kaji,” katanya.
Beliau turut berharap pertemuan itu dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua kementerian, sekali gus membantu agensi seperti MCMC mendapatkan input berguna dalam pelaksanaan rangkaian 5G.
Ini adalah pertemuan kedua antara kedua-dua pemimpin itu selepas bertemu di Putrajaya pada Jun tahun lalu. – BERNAMA