Malaysia, Singapura desak gencatan senjata di Gaza – PM
Malaysia mempunyai pendirian tegas dalam isu Palestin.

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Malaysia terus menggesa gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza dan mendesak rejim Zionis menghentikan serangan ke atas orang awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia dan Singapura mempunyai pendirian sama dengan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata segera dilaksanakan di wilayah bergolak.
“Malaysia mempunyai pendirian lebih tegas dalam isu Palestin, paling utama adalah keamanan di wilayah bergolak dengan pembunuhan kepada orang awam terutama kanak-kanak dan wanita perlu dihentikan segera.
“Saya sudah bertemu beberapa pemimpin Islam dan negara Arab utama bagi menyatakan pendirian Malaysia supaya penyelesaian secara aman dapat dicapai, selain bantuan kemanusiaan dapat disalur segera kepada rakyat Palestin terjejas,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, di Istana di sini, hari ini.
Selasa lalu, Malaysia dilaporkan menuntut gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza dan mendesak rejim Zionis Israel menghentikan serangan.
Anwar dilaporkan berkata, Malaysia juga mahu urusan bantuan kemanusiaan dipermudahkan manakala kezaliman, kesengsaraan dan penderitaan rakyat Palestin dinoktahkan.
Anwar tiba di Singapura malam kelmarin, untuk lawatan kerja selama dua hari sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10.
Perdana Menteri berada di sini pada Januari lalu untuk lawatan rasmi sulungnya ke Singapura selaku Perdana Menteri manakala pada September lalu, beliau menyertai dua sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken.
Ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pemimpin dalam kerangka pemukiman.
Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura adalah mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007.
Sesi pemukiman ini tertangguh sejak 2019 kerana pandemik COVID-19.
Mengulas isu tertunggak antara Malaysia dan Singapura yang dibincangkan bersama Hsien Loong, Anwar berkata, isu maritim terutama Batu Puteh antara yang disentuh dalam pertemuan berkenaan.
“Pendirian kami adalah Peguam Negara Malaysia dan Singapura perlu mengadakan perbincangan lanjut untuk menyelesaikan isu tertunggak berkaitan Batu Puteh.
“Isu tertangguh lama termasuk ruang udara penerbangan yang diperlukan Singapura terutama untuk kegiatan latihan dan komersial turut disentuh.
“Dari segi komersial, ratusan penerbangan dunia memasuki Singapura yang sebenarnya boleh memberi manfaat kepada Malaysia, maka jika ada persefahaman antara dua negara, ia akan memberi manfaat,” katanya.
Anwar berkata, isu tenaga boleh diperbaharui turut dibincang dengan Malaysia komited untuk terus membekalkan tenaga berkenaan.
Perdana Menteri berkata, Singapura juga meningkatkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia bagi memacu perkembangan sektor berkenaan.
“Komitmen Malaysia terhadap sektor tenaga diperbaharui ini akan diperkukuhkan, apatah lagi Sarawak selain Semenanjung turut berminat mengeksport tenaga kepada Singapura dan Indonesia.
“Kita sudah mempersetujui perkara ini dengan Singapura,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Singapura perlu menunjukkan semangat setia kawan dalam menyelesaikan isu tertunggak dalam suasana menang-menang.
“Saya teruja dengan perbincangan pemukiman bersama Hsien Loong kerana kita mencapai komitmen yang tidak dijangka dan belum pernah berlaku antara Malaysia dan Singapura,” katanya. — Berita Harian