Berita

Malaysia terima 31,600 kuota haji tahun ini

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, dalam pertemuan sempena majlis menandatangani Memorandum Aturan Urusan Haji 1445H/2024 di Jeddah, Arab Saudi.

“Dalam pertemuan itu, antara perkara dibincangkan ialah kandungan memorandum berkaitan aturan pengurusan jemaah haji, meliputi urusan penerbangan, penginapan serta penyediaan makan minum mereka sepanjang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kuota untuk Malaysia pada tahun lalu juga adalah seramai 31,600 jemaah haji.

Menjelaskan lanjut, Mohd Na’im berkata, perkara lain yang turut dibincangkan ialah urusan di Masyair, termasuk pengangkutan untuk jemaah dan petugas haji.

“Pada masa sama, persediaan pengurusan aspek kesihatan jemaah haji juga dibincangkan,” katanya.

Mohd Na’im kini berada di Jeddah, Arab Saudi, bagi menghadiri Persidangan Haji dan Umrah 2024 anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. – BERNAMA

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button