Politik

‘Mana pergi panglima misai?’ – KJ sindir Tok Mat

KUALA LUMPUR 11 Jun – Kenyataan terkini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung isu permohonan maaf DAP dilihat bercanggahan dengan pendiriannya yang pada awalnya menyatakan bahawa adalah lebih baik sekiranya parti itu meminta maaf kepada UMNO.

Ini kerana tidak sampai 48 jam mengeluarkan kenyataan tersebut, Mohamad atau Tok Mat menegaskan pula supaya isu DAP digesa meminta maaf kepada UMNO tidak lagi perlu dibangkitkan.

Jelasnya, beliau tidak mahu tuntutan yang dilakukan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh itu menjadi punca kepada perpecahan atau keretakan Kerajaan Perpaduan.

Perkara ini mendapat perhatian Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang menyindir pendirian Tok Mat berubah dalam masa 48 jam.

Khairy semalam memuatnaik hantaran di IG Story milkinya dengan pertanyaan “mana poie (pergi) panglima misai?’.

Soalan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Tok Mat gagal mempertahankan isu permohonan maaf DAP terhadap UMNO seperti yang diperjuangkan barisan Pemuda parti itu.

Terdahulu, Muhamad Akmal berkeras tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, kelmarin.

Ia dipercayai merujuk kepada tuntutannya agar DAP memohon maaf dan menarik balik segala tohmahan dilemparkan terhadap UMNO yang telah mengguris hati ahli sehingga kini.

“Saya nak beritahu, kenyataan yang telah dibuat pada pagi tadi, tidak sama sekali akan ditarik. Itu muktamad.

“Biarlah orang kata kita langau, orang kata kita biadab. Apa yang kita tahu, Pemuda UMNO membawa suara rakyat. Kita tak gentar apa yang berlaku di depan, selagi mana kita membawa suara keramat akar umbi UMNO,” katanya semasa ucapan penangguhan.

Dalam ucapan dasarnya sebelum itu, beliau berkata permohonan maaf daripada DAP berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.

Muhamad Akmal juga meminta DAP membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap-cakap tentang parti itu yang anti Melayu, anti Islam, perkauman serta berpusatkan komunis tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ia tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana DAP telah beberapa kali pendirian mereka berhubung perkara tersebut. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button