Mangsa bot terbalik di Teluk Batik meninggal dunia
Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampung halaman mangsa di Tanjung Piandang, Kuala Kurau selepas solat Zuhur

MANJUNG 29 Ogos – Seorang mangsa insiden bot terbalik di Pantai Teluk Batik di sini semalam disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Mangsa, Nurulafiqah Abdullah Sani, 34, beralamat di Tanjung Piandang, Kuala Kurau meninggal dunia di Hospital Seri Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 4.58 pagi.
“Pemeriksaan fizikal di hospital berkenaan juga mendapati tiada unsur jenayah berlaku,” katanya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di kampung halaman mangsa di Tanjung Piandang, Kuala Kurau selepas solat Zuhur.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menerusi hantaran di Facebook memaklumkan sebelum kejadian mangsa menghantar anak yang menyertai Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Perak 2023 di Manjung.
“Allahyarham bersama keluarga meluangkan masa bercuti di pantai peranginan Teluk Batik dengan menaiki bot di pantai tersebut sehari selepas kejohanan yang disertai anaknya.
Mangsa sebelum itu menghantar anak ke Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Perak 2023 di Manjung.
“Saya ucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga terus tabah dan bersabar dan sentiasa mendoakan buat Almarhumah sepanjang waktu,” katanya yang juga Ketua Pemuda Pas Perak dalam hantaran tersebut.
Xklusif semalam melaporkan, sembilan individu terselamat apabila bot penumpang dinaiki terbalik di Pantai Teluk Batik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai dekat sini pada Isnin.
Kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu melibatkan dua kru dan tujuh pelancong tempatan berusia antara tiga hingga 34 tahun.
Dalam pada itu, polis turut mendapati kesemua pelancong tempatan yang terlibat dalam kejadian tersebut tidak memakai jaket keselamatan diri.
Katanya, siasatan juga mendapati pengusaha bot berkenaan tidak didaftarkan untuk membawa pelancong. – Xklusif