Mansuhkan skim pencen wakil rakyat dahulu
Keputusan kerajaan dilihat berat sebelah kerana wakil rakyat boleh menikmati pencen.
KUALA LUMPUR 25 Jan. – Pemuda UMNO melihat keputusan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen sebagai berat sebelah.
Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh berkata, pemansuhan skim pencek sepatutnya dimulakan dengan wakil rakyat terlebih dahulu.
“Kita memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini. Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen dimulakan oleh wakil rakyat terlebih dahulu.
“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka, tetapi kita pula menikmati pencen sehingga mati. Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat!” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dan pengumuman mengenai tempoh serta tarikh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas tetapi golongan baharu yang dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu, Akmal mengharapkan cadangan yang dikemukakan itu diteliti semula dan dipersetujui oleh kerajaan termasuk semua wakil rakyat.
“Ini kerana kami percaya dengan prinsip kepimpinan melalui tauladan. Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” ujarnya. — Xklusif