Mantap Lim Kit Siang sucikan ‘BFF’ politik baharu DAP
Khairy Jamaluddin terkejut dengan kenyataan Lim Kit Siang berkaitan isu DNAA.

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membidas tindakan veteran DAP Lim Kit Siang yang menyucikan rakan “BFF” politik terbaharu parti itu.
Merujuk kenyataan Lim bahawa dia terkedu dan terkejut dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri tersebut mempersoalkan jika itu sahaja yang mampu dikatakan.
“Ini sahaja yang Lim Kit Siang mampu cakap?
“Kalau baca kenyataan penuh Lim Kit Siang ada satu ayat ini sahaja berkenaan isu DNAA ini.
“Terkedu. Terkejut. Itu sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Khairy, Lim mempunyai begitu banyak perkara untuk diperkatakan tentang segala-galanya sepanjang kerjaya politiknya.
Namun, katanya, dalam isu pelepasan tanpa membebaskan (DNAA) timbalan perdana menteri itu daripada semua 47 pertuduhan dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi, Lim hanya mampu berkata dirinya “terkedu dan terkejut”.
“Selebihnya dia menyalahkan Perikatan Nasional yang kononnya pecah-belahkan masyarakat.
“Mantap betul Lim Kit Siang menyucikan rakan BFF politik terbaharu DAP,” perlinya.
Lim mengeluarkan kenyataan itu pada tiga hari lalu selepas lebih sepuluh hari sejak AGC menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Zahid.
Kenyataannya itu dikeluarkan sehari selepas ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan menyoal sikap berdiam diri wakil rakyat DAP – terutamanya Lim, anak lelakinya Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo – yang pernah lantang mengenai isu keadilan. — Xklusif