MAPIM, Akademi Siti Khadijah Perkasakan Wanita Melalui Latihan Keusahawanan

Jenama telekung terkenal, Siti Khadijah (SK) di bawah Enda Group Sdn Bhd semakin memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan wanita serta memikul tanggungjawab sosial melalui pelaksanaan Akademi Siti Khadijah. Akademi ini menerima sokongan strategik daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Melalui program ini, Enda Group menzahirkan semangat kemanusiaan yang selari dengan nilai teras jenama Siti Khadijah yang terkenal dengan ketahanan, kualiti, dan keberkatan.
Akademi Siti Khadijah menyediakan platform latihan kemahiran khusus bagi golongan ibu tunggal, kumpulan sasaran, dan golongan B40. Fokus utama program ini adalah membangunkan kemahiran jahitan, keusahawanan, serta meningkatkan daya saing wanita dalam masyarakat. Program selama dua hari yang berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2025 di Laman Khadijah, Nilai, Negeri Sembilan, melibatkan 12 peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, dan Selangor.

Latihan intensif dikendalikan oleh Dr. Nor Hasimah binti Zakaria, Pensyarah Kanan Teknikal dan Vokasional dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bersama tiga tenaga pengajar UPSI yang lain. Setiap peserta diberi kit jahitan lengkap yang merangkumi mesin jahit dan peralatan asas, agar pembelajaran dapat berjalan dengan lancar sepanjang program.
Program latihan dibahagikan kepada tiga komponen utama, iaitu Kursus Kemahiran Asas Jahitan, Bimbingan Keusahawanan, dan Penilaian Peserta. Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal malah turut dibimbing untuk menceburi bidang keusahawanan secara berkesan.

Tiga peserta terbaik yang menunjukkan prestasi cemerlang adalah Siti Nur Athirah Binti Johari, Rozaimah Binti Rozli dan Siti Rohafiedah Binti Hamid. Mereka menerima mesin jahit heavy duty sebagai insentif untuk memulakan perniagaan masing-masing.
Antara acara menarik adalah lawatan eksklusif ke Galeri Khadijah di Laman Khadijah, yang mempamerkan perjalanan jenama Siti Khadijah selama 15 tahun. Para peserta dapat melihat secara langsung proses pembuatan telekung serta tradisi dan inovasi yang menjadi asas kekuatan jenama tersebut.

Menurut En Mohammad Muhaimin Bin Aminuddin, Ketua Pegawai Perancangan Strategik Kumpulan Enda Group Sdn Bhd, kerjasama ini meluaskan misi kemanusiaan MAPIM pada skala tempatan dan antarabangsa. Objektif utama adalah mengangkat wanita daripada penerima bantuan kepada penyumbang utama dalam ekonomi keluarga dan masyarakat.








