Berita

MAPIM Malaysia anjur sesi eksklusif bersama Ustaz Somad, tiup semangat solidariti membela Gaza

BERTEMPAT di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) telah menganjurkan satu majlis sesi Hi-Tea bersama Ustaz Dr. Abdul Somad dengan tajuk Recharge : Gaza Bangkit! pada hari Ahad.

Majlis ini diadakan dengan tujuan untuk meniupkan kembali semangat solidariti untuk membela Gaza dengan hastag  gazabangkit dan pengenalan kepada sebuah pembangunan istimewa iaitu Bandar Wakaf Malaysia Gaza.

Hadir memeriahkan majlis adalah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor yang turut berperanan sebagai penggerak utama dalam merealisasikan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza.

Panel turut hadir adalah tokoh korporat Tan Sri Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Eksekutif Dagang NeXchange dan tokoh berwibawa Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia. Bersama tokoh kemanusiaan (Dr.) Sani Araby Al Kahery merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia.

Dalam forum ini, ahli panel mengimbau kembali pengalaman masuk ke dalam Gaza bagi merasmikan masjid berkembar hasil kutipan orang ramai, dengan kerjasama MAPIM. Ahli panel melihat projek yang dilaksanakan oleh MAPIM di Gaza adalah projek yang akan memberi impak besar dalam pembinaan semula Gaza.

Namun ia perlu sokongan bantuan dari semua pihak. Sehubungan itu, mereka memuji Kerajaan Negeri Selangor atas sokongan teguh terhadap Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza.

Antara segmen yang signifikan adalah pembentangan projek yang dirancang di Gaza oleh (Dr.) Sani Araby Al Kahery. Menurut (Dr.) Sani, “Projek Bandar Wakaf Malaysia bukan penyelesaian jangka pendek, tetapi ia dirancang untuk menjadi teras kepada pembangunan semula Gaza.

Pelan pembangunan ini bukan sahaja memberi sokongan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza daripada segi zahir material, akan tetapi juga merangkumi aspek yang lebih holistik, termasuk penelitian kepada kelangsungan pendidikan, ekonomi, dan kerohanian penduduk Gaza.”

Projek Bandar Wakaf Malaysia memerlukan lebih 100 juta ringgit untuk dijayakan. Projek ini merangkumi 14 buah apartment yang mewakili 14 buah negeri dalam Malaysia, sebuah masjid, sekolah, kompleks perniagaan, menara air, ‘central kitchen’, hospital, dan didukung oleh teknologi tenaga bahagu boleh diperbaharui.

Sehingga kini, Projek Bandar Wakaf Malaysia Gaza sudah mendapat sokongan daripada beberapa negeri, agensi-agensi kerajaan, dan pendana-pendana dermawan. Majlis disemarakkan dengan kehadiran pendakwah terkemuka nusantara, Ustaz Dr. Abdul Somad yang juga lantang menyuarakan solidariti kepada Gaza.

Ustaz Dr. Abdul Somad dalam syarahannya mengimbas akan sejarah bani Israel, memberi pencerahan kepada hadirin akan perihal kaum tersebut dan menyeru semua untuk sama-sama menghayati intipati Maal Hijrah dan kebersamaan bersolidariti ke arah pembebasan Gaza dan Palestin.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button