MAPIM, PTS Bookcafe laksana Projek Dekorasi Perpustakaan Ceria di Rumah Bakti Dato’ Harun
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama PTS Bookcafe baru-baru ini telah melaksanakan Projek Dekorasi Perpustakaan Ceria di Rumah Bakti Dato’ Harun, sebuah rumah anak yatim yang terletak di Hulu Klang. Program ini bertujuan untuk memperbaiki suasana pembelajaran bagi anak-anak yatim di rumah kebajikan tersebut.
Projek tersebut diketuai oleh Naib Presiden MAPIM, Tuan Zulhanis Zainol, dan Puan Marina Sulaiman sebagai Pengarah Projek, yang turut bersama-sama dengan 10 sukarelawan MAPIM. Dalam projek ini, mereka telah merenovasi perpustakaan rumah anak yatim berkenaan agar lebih ceria dan kondusif untuk proses pembelajaran. PTS Bookcafe juga menyumbangkan buku-buku baharu bagi memperkayakan koleksi perpustakaan yang sedia ada.
Menurut Puan Marina sebagai Pengarah Projek, “Anak-anak yatim adalah anak-anak kita juga. Jadi apa yang terbaik untuk anak-anak kita, saya akan pastikan itulah juga yang anak-anak yatim ini dapatkan. Jadi dekorasi perpustakaan ini memang saya ibaratkan mendekorasi ruangan untuk anak saya sendiri. Penuh kasih sayang dan ketelitian.”
Tuan Zulhanis Zainol berkata, “Kami berharap dengan adanya ruang perpustakaan yang lebih ceria dan lengkap dengan bahan bacaan, anak-anak yatim di sini dapat memanfaatkan sepenuhnya untuk pembelajaran dan perkembangan diri mereka. Ini adalah salah satu cara kami di MAPIM untuk terus menyantuni anak-anak yatim dan memastikan mereka mendapat peluang yang lebih baik.”
Muhammad Firdaus Hakim Bin Yazid Hamdi, wakil PTS Bookcafe, turut hadir dan menyampaikan ucapan, “Kami di PTS Bookcafe amat berbesar hati dapat menyumbangkan buku-buku baru bagi menambah koleksi perpustakaan Rumah Bakti Dato’ Harun. Kami percaya bahawa pembelajaran adalah kunci untuk membuka masa depan yang lebih cerah, dan kami berharap sumbangan kami ini dapat memberikan inspirasi serta manfaat kepada anak-anak yatim di sini.”
Program tersebut juga disambut dengan penuh keterujaan oleh pihak Rumah Bakti Dato’ Harun, yang diwakili oleh Tuan Hj Harun bin Mohd Noor, Ahli Jawatankuasa Majlis Kerja Rumah Bakti Dato’ Harun, serta Puan Zainun bt Sahlan, Pengurus Rumah Bakti Dato’ Harun. Tuan Hj Harun mengucapkan terima kasih kepada MAPIM dan PTS Bookcafe atas sokongan yang diberikan.
“Alhamdulillah, kami amat berterima kasih kepada MAPIM dan PTS Bookcafe yang telah membantu menyediakan satu ruang yang sangat bermanfaat untuk anak-anak yatim di rumah kami. Semoga ini memberi mereka lebih semangat untuk terus belajar dan berkembang,” kata Puan Zainun Sahlan, Pengurus Rumah Bakti Dato’ Harun.
Projek ini merupakan salah satu daripada banyak inisiatif MAPIM untuk membantu golongan memerlukan dan mempromosikan budaya ilmu dalam kalangan anak-anak yatim di seluruh negara.