MAPIM, ZUS Coffee jalin kerjasama bantu Gaza melalui kempen sejuta cawan kopi

Semalam telah berlangsung majlis bersejarah pelancaran Kempen 1,000,000 Penyokong & Sleeve Cawan Edisi Khas Gaza, hasil kerjasama antara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) dan ZUS Coffee di Bangi Convention Centre.
Kempen ini bertujuan mengumpulkan sokongan untuk rakyat Gaza dengan memperkenalkan produk edisi khas ke arah kesedaran dan sokongan Malaysia pada perjuangan Palestin merdeka.
Sehingga kini, perang genosid Israel ke atas Gaza sudah melangkaui 300 hari. Rejim zionis ini telah membunuh sekurang-kurangnya 39,000 rakyat Palestin – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak – dan mencederakan lebih 92,294 yang lain, dengan lebih 10,000 orang dianggarkan tertimbus di bawah serpihan bangunan dan struktur yang dibom.
Pelancaran kempen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MAPIM bagi menyediakan bantuan kemanusiaan dan solidariti kepada penduduk Gaza yang terjejas. ZUS Coffee, sebagai rakan kongsi sinergi kempen ini, memperkenalkan ‘sleeve’ cawan bertema Gaza edisi khas yang akan disertakan pada setiap pembelian kopi di outlet mereka di seluruh negara.
Pengguna aplikasi mobil ZUS juga akan dapat menyumbang menerusi fitur sumbangan di dalam aplikasi tersebut. Hasil sumbangan akan disalurkan kepada usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.
Majlis tersebut juga menyaksikan sesi perkongsian yang menekankan peri pentingnya solidariti global dalam menghadapi krisis kemanusiaan, serta perwakilan daripada ZUS Coffee yang berkongsi komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial.
“MAPIM bersinergi bersama ZUS Coffee dalam usaha murni ini. Melalui kempen ini, kami berharap dapat mencapai satu juta penyokong yang bersedia menyumbang dan membuat perubahan dalam kehidupan rakyat Gaza,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery.
Pihak ZUS Coffee menekankan bahawa kempen ini adalah inisiatif dan bukti komitmen mereka kepada keadilan kemanusiaan sejagat. Dengan sleeve cawan edisi khas ini, ZUS Coffee ingin menggalakkan pelanggan mereka untuk bersama-sama menyokong kempen ini dan membantu mereka yang memerlukan.
Sebelum ini, ZUS Coffee dengan bantuan MAPIM telah menyalurkan bantuan air bersih sebanyak 120,000 liter dan bantuan makanan panas sebanyak 1,250 pek ke tiga kawasan yang terkesan teruk akibat peperangan di Gaza.
Kempen 1,000,000 Penyokong & Sleeve Cawan Edisi Khas Gaza MAPIM & ZUS COFFEE ini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menunjukkan solidariti mereka secara langsung dan menyebarkan kesedaran tentang situasi di Gaza. Para penyokong digalakkan untuk berkongsi maklumat tentang kempen ini di media sosial dan mengajak lebih ramai orang untuk menyertai usaha ini.