Berita

Maritim Malaysia aktifkan OPS CARILAMAT insiden pelanggaran MT HAFNIA NILE dan MT CERES 1

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden perlanggaran kapal MT HAFNIA NILE dengan MT CERES 1 di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada pukul 6.55 pagi hari ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, berikutan insiden tersebut, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian.

Tambah Datuk Saiful, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, Bot PERKASA 29 bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian untuk tindakan CARILAMAT kedua-dua kapal tersebut.

Jelas beliau lagi, aset Maritim Malaysia, bot PERKASA 29 telah tiba di lokasi insiden pada pukul 9.50 pagi dan menemui kedua-dua kapal tersebut.

Sementara itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan berkenaan insiden tersebut bagi tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Sementara itu pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) juga diarahkan untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran.

Datuk Saiful dalam pada itu memaklumkan satu sidang media dijangka diadakan di Tanjung Sedili pada esok hari.

Segala perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan

Back to top button