Maruah, prinsip yang penting, bukan jawatan – Presiden MIC
MIC teguh melaksanakan segala agendanya dengan mengutamakan maruah dan prinsip

SEREMBAN, Okt 23: Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan bahawa jawatan kerajaan tidak penting buat MIC tetapi yang lebih penting adalah maruah dan prinsip.
“Saya sedar ada rungutan di kalangan akar umbi parti di Negeri Sembilan bahawa MIC telah kehilangan kerusi DUN Jeram Padang untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri yang diadakan baru-baru ini.
“Ketika perbincangan mengenai pengagihan kerusi untuk bertanding di dalam PRN, MIC telah ditawarkan untuk bertanding di kerusi yang kita menang di dalam pilihan raya yang lepas. Jika MIC menerima tawaran tersebut, maksudnya ia akan dijadikan sebagai amalan baru.”
“Maka, MIC tidak berminat dan enggan menerima tawaran berkenaan,” jelas Vigneswaran.
Vigneswaran turut mendedahkan bahawa ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC yang diadakan sebelum PRN, mantan Pengerusi MIC Negeri Sembilan yang juga mantan ADUN Jeram Padang Dato’ L. Manickam telah ditanya jika kerusi tersebut dapat dipertahankan jika MIC bertanding dan beliau berkata tidak yakin akan peluang kemenangan.
“Maka, MIC telah mengambil keputusan konsensus untuk tidak bertanding di kerusi Jeram Padang. Bagi MIC jawatan kerajaan adalah tidak penting. MIC teguh melaksanakan segala agendanya dengan mengutamakan maruah dan prinsip,” kata Vigneswaran ketika merasmikan Konvensyen Tahunan MIC Negeri Sembilan di Seremban semalam.
Bercakap mengenai perkara lain, beliau berkata pelan dan kerja-kerja pembinaan bangunan berkembar ibu pejabat MIC yang baharu telahpun dimulakan dan ianya akan menjadi aset yang menjana dana buat kelangsungan agenda parti.
“Dengan dana yang kukuh, MIC boleh berdikari di dalam melaksanakan segala agenda parti dan masyarakat yang didukung oleh MIC. Kita tidak akan menghadapi sebarang masalah jika terdapat sebarang peralihan kerajaan. Fokus kita adalah memperkukuhkan parti,” kata Vigneswaran. – XKlusif