Mayat remaja OKU dihanyutkan arus deras ditemukan tersangkut pada pelepah sawit
Mayat remaja orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Tanjung Kanan ditemukan lemas petang semalam kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.
Memetik laporan BH Online, mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata mayat mangsa ditemui jam 5.35 petang semalam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama lebih 10 jam di lokasi.
Beliau berkata, mayat mangsa dipercayai tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir.
“Bagaimanapun, setakat jam 6 petang operasi SAR mencari ibu mangsa, Salmah Mat Zain, 46, masih diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lokasi pencarian.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata penemuan sepasang selipar wanita dan sebelah selipar lelaki dipercayai menjadi petunjuk baharu untuk membantu operasi diteruskan.
Katanya, selipar ibu dan anak itu ditemui anggota pasukan penyelamat jam 3 petang tadi.
“Keadaan air surut membolehkan oerasi pencarian diteruskan sebelum mayat mangsa ditemui tidak lama kemudian.
“Operasi akan diteruskan untuk mencari ibu mangsa di lokasi pencarian sehingga jam 7 malam ini,” katanya.
Mulkiaman berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.