MB kelantan saman 2 Adun pembangkang
MB Kelantan mengemukakan saman terhadap Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim, selain Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.
KUALA LUMPUR 5 Sept. – Menteri Besar (MB Kelantan) Mohd Nassuruddin Daud memfailkan saman terhadap dua Adun pembangkang negeri kerana mengaitkan dirinya dengan kenyataan “takfiri”.
Saman itu dikemukakan terhadap Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim, selain Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.
MB Kelantan, yang juga Adun Meranti berkata surat saman telah dihantar kepada Syahbuddin.
“Semalam (Isnin) surat saman telah dihantar kepada peguam Adun Galas (Syahbuddin).
“Selepas ini giliran Adun Kota Lama (Dr Hafidzah) dan Ahmad Jazlan,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang akhbar selepas Majlis Mengangkat Sumpah Adun Kelantan di Kota Darul Naim, Kota Bharu.
Nassuruddin ketika mengulas lanjut, berkata, tindakan tersebut diambil kerana beliau tidak menyebut perkataan yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga pemimpin itu.
Katanya, sejak berusia 21 tahun hingga sekarang 58 tahun beliau mengajar agama di masjid dan pondok, tidak pernah sekalipun mengkafirkan sesiapa.
“Kerana saya tahu akibat mengkafirkan orang, kalau orang itu tidak kafir, kafir itu kembali kepada orang yang menuduh,” katanya.
Terdahulu, dalam kuliah Jumaat beberapa minggu lalu, Nassuruddin dalam sedutan ceramah, berkata: “Terima kasih banyak kepada rakyat Kelate (Kelantan). Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah. Orang muda bersemangat, orang tua hok sokmo (sepanjang masa) sokong perjuangan Islam.
“Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu.”
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hanya mempunyai dua sahaja pembangkang, dengan Galas diwakili Barisan Nasional, manakala Kota Lama diwakili Pakatan Harapan.
Susulan daripada ceramah tersebut, Syahbuddin dan Hafidzah menuntut permohonan maaf daripada Nassuruddin, namun tidak dilayan menjurus ketua wanita Amanah Kelantan itu mahu menyaman dengan menyerahkan proses tersebut kepada peguamnya. — FMT