Berita

Menantu Muhyiddin sudah lari ke luar negara – SPRM

SPRM percaya dua lelaki termasuk menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun melarikan diri ke luar negara selepas disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki agensi itu.

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya dua lelaki termasuk menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun melarikan diri ke luar negara selepas disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan kenyataan selepas berkali-kali cuba menghubungi kedua-dua individu berkenaan namun mereka gagal hadir ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, Datuk Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu Pengerusi Perikatan Nasional itu dan peguam, Mansoor Saat diperlukan untuk tindakan mahkamah.

Sehubungan itu jelasnya, kedua-duanya disenaraikan dalam ‘orang dikehendaki’ apabila gagal hadir.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua individu itu benar-benar melarikan diri atau sedang melancong di luar negara, Azam berkata, notis orang dikehendaki sudah dikeluarkan.

“Jika kita (sudah) keluarkan ‘wanted list’ (maknanya) mereka telah melarikan dirilah,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022, di sini hari ini.

Dua hari lalu, SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan sedang menjejaki dua individu iaitu Muhammad Adlan, 48, mempunyai Alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Individu kedua pula adalah Mansoor, 69, beralamat terakhir di Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Menurut kenyataan itu, semakan rekod mendapati kedua-dua individu itu meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dan tiada rekod kembali.

Kedua-duanya diminta membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button