Menteri Israel mahu guna bom nuklear ratakan Gaza
Penggunaan senjata nuklear sebagai salah satu alternatif bagi menamatkan perang Palestin-IsraeP
TEL AVIV 6 Nov – Menteri Warisan Israel, Amichai Eliyahu digantung daripada tugasnya selepas mengusulkan Rejim Zionis menggugurkan bom nuklear di Semenanjung Gaza, lapor laman berita Middle East Monitor semalam.
Awal semalam, akhbar Times of Israel melaporkan bahawa menteri berfahaman ekstrem daripada parti ekstremis, Otzma Yehudit itu berkata demikian dalam satu temu bual bersama Radio Kol Berama.
Dia menyebut penggunaan senjata nuklear sebagai salah satu alternatif bagi menamatkan perang Palestin-Israel.
Eliyahu turut menyatakan bahawa lebih dua juta populasi Palestin di Semenanjung Gaza boleh pergi ke Ireland atau mana-mana gurun serta mencari penyelesaian sendiri bagi konflik kemanusiaan yang dihadapi.
Susulan temu bual itu, Eliyahu tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat kabinet bagi tempoh masa yang belum diputuskan.
Bagaimanapun selepas dikenakan ‘hukuman’ tersebut, Eliyahu mengeluarkan kenyataan susulan yang mendakwa komennya itu hanya sebagai metafora.
“Jelas bagi semua orang yang berakal bahawa kenyataan mengenai atom (bom) adalah metafora,” katanya. – AGENSI