Menteri Pertahanan terima kunjungan hormat Duta Kuwait, bincang hasrat perolehan F/A-18 Hornet TUDM
Malaysia dan Kuwait sedang mengadakan perbincangan bagi menentukan perolehan pesawat F/A-18 Hornet untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perkara tersebut dizahirkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas menerima kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia, TYT Rashed Mohammed Rashed ALSALEH, hari ini.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) setelah KAF menerima Super Hornet baharunya,” jelasnya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia berharap agar hubungan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait dapat terus dipertingkatkan, seterusnya memberikan manfaat kepada kedua-duanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia berbesar hati melihat kemajuan positif dalam hubungan bilateral dan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.
“Kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara akan terus diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman yang akan ditandatangani kelak,” jelasnya lagi.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan soal Military-to-Military Cooperation, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.
Sebelum ini Air Times melaporkan, Panglima Tentera Udara menjelaskan, cadangan untuk mendapatkan pesawat Hornet dari Kuwait telah dibincangkan.
Menurutnya, kerajaan telah berbincang dan TUDM dalam proses untuk mengadakan lawatan ke Kuwait serta menunggu waktu yang sesuai.
“Dalam masa terdekat kita akan menghantar pasukan, berkemungkinan dalam bulan Jun kita akan tubuhkan satu tim untuk laksanakan lawatan teknikal ke sana,
“Selepas lawatan itu nanti, kerajaan dan TUDM akan memutuskan bilangan pesawat Hornet yang ingin diperoleh,” katanya.