Berita

Menu Rahmah tidak jejas perniagaan, lebih ramai dapat keluar makan tengah hari

Orang ramai berpuas hati berpuas hati dengan kualiti dan kuantiti makanan tengah hari ditawarkan dengan harga serendah RM5.

KUALA LUMPUR, Feb 8 — Masuk hari kelapan pelaksanaan iniastaif Menu Rahmah yang bermula 31 Januari lalu tidak sedikit pun menjejaskan keuntungan kebanyakkan restoran dan kedai makan, malah masih mampu beroperasi seperti biasa.

Pengusaha Restoran Ali Maju di Keramat Permai, Syed Ibrahim berkata, sejak menawarkan Menu Rahmah minggu lalu, pihaknya tidak menanggung sebarang kerugian selepas menawarkan menu berkenaan kepada pelanggannya.

“Kami buka Menu Rahmah seawal jam 11 pagi hingga 3 petang. Kalau ada yang datang lewat pun kami masih beri.

“Tengok pelanggan happy, kita pun happy. Tak apa, kami tak rugi pun. Yang penting semua dapat makan,” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.

Tinjauan krew Xklusif di sekitar Lembah Klang turut mendapati orang ramai berpuas hati berpuas hati dengan kualiti dan kuantiti makanan tengah hari ditawarkan dengan harga serendah RM5.

Warga emas, Siti Normah Ghazali, 61, yang menetap di Ampang berkata, dia tidak ketinggalan untuk mendapatkan pek makanan Menu Rahmah seawal jam 12 tengah hari ini di kedai mamak berhampiran.

Menurutnya, jika sebelum ini dia berbelanja sehingga RM10 hingga RM12 untuk makan tengah hari kini berpeluang untuk berjimat dengan adanya Menu Rahmah.

Katanya, dengan harga RM5, pek berkenaan mengandungi nasi, ayam goreng, kubis, kuah kari selain turut disediakan air minuman.

“Kuantiti makanan di pek itu sesuai bagi kanak-kanak sehinggalah dewasa, malah ia dibungkus dengan kemas bagi memudahkan orang ramai.

“Selain menjadi hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan, menu berkenaan juga lazat.

“Memang pembelian Menu Rahmah amat berbaloi terutama bagi golongan B40 yang terkesan dengan kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Nadhirah Ahmad, 30, berkata inisiatif berkenaan jelas mampu meringankan beban golongan B40 khususnya yang tinggal di bandar sekaligus dapat menikmati makanan yang sihat dan seimbang.

“Bagi saya menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, lauk dan air minuman adalah sangat berpatutan harga dan boleh mengenyangkan.

“Saya berharap Menu Rahmah ini diperluaskan di lebih banyak restoran bagi membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Tinjauan turut mendapati, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai latar belakang mula membeli makanan tengah hari yang berharga hanya RM5 seawal jam 12 tengah hari.

Sambutan terhadap Menu Rahmah adalah memberansangkan apabila rata-rata kedai sudah mula menawarkan menu berkenaan dengan pelbagai pilihan dan tidak berasaskan nasi berlauk semata-mata.

Menu Rahmah juga ditawarkan di 15,000 restoran dan cawangan pasar raya Mydin di seluruh negara.

Artikel Berkaitan

Back to top button