MIC nafi dapat kerusi di DUN Selangor, Sivaraj sah keluar parti

KUALA LUMPUR 27 Jun – MIC menafikan laporan yang menyebut bahawa parti itu akan diperuntukkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata, laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa parti itu akan diberi kerusi pada PRN Selangor adalah tidak tepat.
“Laporan MIC diberi kerusi bertanding tidak tepat. MIC sebelum ini minta DUN Sentosa yang (kita) mempunyai peluang untuk menang.
“Namun, setelah rundingan antara PH dan BN, kerusi itu dikekalkan dengan PKR.
“Jadi, sehingga kini, MIC tidak dijanji mana-mana kerusi untuk bertanding di Selangor,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, MIC Selangor mendakwa parti itu akan diberi kerusi DUN.
Bagaiamanapun, pengerusinya, MB Raja berkata, parti itu belum dapat memastikan berapa jumlah kerusi yang bakal diperuntukkan.
Untuk rekod, BN Selangor mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri di bangunan Umno Selangor, Shah Alam, lewat malam tadi.
Difahamkan, hasil rundingan dengan PH Selangor, BN kini diberikan 11 kerusi DUN untuk bertanding.
Sementara itu, bekas naib presiden MIC, C Sivaraj, mengesahkan beliau keluar parti serta-merta.
Sivaraj berkata keputusan itu dibuat kerana beliau ingin melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan dari mana-mana pihak, terutamanya dari kepimpinan MIC.
Menurut suratnya kepada Presiden SA Vigneswaran, beberapa peristiwa yang berlaku ketika berkhidmat bawah kepimpinan beliau mengakibatkan dia mengambil keputusan untuk melepaskan keahlian.