MIC pertahankan rekod Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia
Thinalan meminta mereka yang mempersoal Saravanan supaya melakukan 'kerja rumah' dahulu.

KUALA LUMPUR 15 Sept – Ketua Penerangan MIC, Thinalan Rajagopalu meminta mereka yang mempersoalkan kewibawaan Datuk Seri M. Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia supaya melakukan ‘kerja rumah’ secara betul dan ikhlas berdasarkan bukti serta fakta.
Menurut Thinalan, tempoh 32 bulan Saravanan memikul tanggungjawab sebagai menteri adalah paling mencabar dalam sejarah negara berikutan politik tidak stabil serta kesan pandemik Covid-19.
“Beliau telah diberi amanah bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan insentif buat tenaga kerja negara yang terkesan akibat Covid-19 di bawah pelan PENJANA, PRIHATIN dan PERMAI di bawah KSM dan agensi-agensi di bawahnya.
“Ini adalah termasuk bantuan kewangan kepada pekerja swasta yang diberhentikan ataupun diberi notis tanpa gaji di bawah Program Pengekalan Pekerja (ERP) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Peluang kerjaya baru diwujudkan di bawah program MyFutureJobs yang di kemudi oleh PERKESO di bawah seliaan beliau,” katanya.
Thinalan berkata demikian untuk menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak yang tidak arif, separa matang dan kerakusan populariti kebelakangan ini mengenai khidmat dan pencapaian Saravanan ketika menggalas jawatan Menteri di dalam kerajaan terdahulu.
Jelas Thinalan, melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) pula puluhan ribu individu ditawarkan kerjaya di bawah skim PENJANA HRDF.
“Lima skim yang diperkenalkan iaitu Latihan dan Penempatan, Pembangunan B40, Pembangunan SME, Revolusi Industri 4.0 dan Gerak Insan Gemilang (GIG) secara langsung memperkasakan tenaga kerja negara dengan penuh efektif.
“Saravanan juga telah memastikan pelaksanaan skim gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei 2022, yang hanya sekadar omong kosong peneraju KSM sebelum beliau.
Penetapan gaji minimum ini menjadi titik bersejarah buat jutaan warga kerja Malaysia,” katanya.
Saravanan juga kata Thinalan begitu instrumental di dalam pelaksanaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan tenaga kerja terjamin.
Malah katanya, melalui ilham beliau, KSM juga telah membangunkan modul latihan dan kemahiran kepada
Penyelia Penginapan dan Kemudahan Pekerja (PPKP) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung
Malaysia (JTKSM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Saravanan turut menerajui Pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 di Parlimen bertujuan demivmemartabatkan kesatuan sekerja di Malaysia. Pindaan akta tersebut adalah selaras dengan budaya antarabangsa yang dijulang oleh Organisasi Perburuhan Antarabangsa (ILO).
“Beliau juga telah membentangkan usul pengambilan semula pekerja asing yang dipersetujui oleh kabinet. Sektor-sektor ekonomi penting, seperti perkilangan, perladangan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian telah diberi kelulusan untuk menggaji pekerja asing dari negaranegara sumber yang dibenarkan.
“Beliau telah merealisasikan kerjasama dengan kerajaan negara-negara sumber bagi pekerja asing seperti Bangladesh dan Indonesia melalui memorandum persefahaman yang dimeterai,” katanya.
Ujarnya lagi, program Rekalibrasi Tenaga Kerja telah dibuka kepada majikan dalam empat sektor perkhidmatan, iaitu restoran, kargo, borong dan runcit, serta pembersihan dan pencucian menerusi usahasama KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tambahnya, Saravanan juga mengilhamkan aplikasi Working for Workers (WFW) yang menyediakan platform
kepada warga kerja berhubung terus dengan KSM dan agensi-agensi berkait bagi menyalurkan masalah yang mereka hadapi tanpa sebarang tekanan dan halangan.
“Banyak lagi pencapaian Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia yang telah menjadi perintis kepada pemerkasaan semula tenaga kerja serta industri negara.
“Anehnya, masih ada pihak yang mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai mantan Menteri Sumber Manusia,” katanya. — Xklusif