Politik

MIC tegur Lokman Adam jaga adab, jangan kurang ajar

KUALA LUMPUR 21 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Lokman Noor Adam perlu lebih rasional dan belajar mengenai adab apabila mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak menyalahi fakta.

Itu teguran yang disuarakan MIC oleh Ketua Penerangannya, R Thinalan yang merujuk kepada kenyataan Lokman berhubung MCA dan MIC dalam sebuah wawancara bersama sebuah portal berita baru-baru ini.

Thinalan menyifatkan kenyataan Lokman di dalam wawacara itu sebagai biadap, tidak tepat selain kurang rasional dari segi kebenaran fakta.

“Sejak 1952, MIC tidak pernah meminggirkan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pengganti terus Parti Perikatan hingga kini. Baik atau buruk senario politik yang dihadapi BN, kami sentiasa tetap berdiri teguh bersama UMNO dan MCA. Kita juga tidak melompat bagai katak seperti Lokman.

“Kenyataan Lokman adalah merupakan cubaan untuk mengeruhkan air yang jernih. Tidakkah MIC dan MCA masih bersama Barisan Nasional kini? Adakah kami menuntut apa-apa jawatan hanya untuk mengekalkan sokongan kepada BN?”

“Tidak ada satu jawatan pun yang diterima oleh MIC padahal UMNO yang menerima semua jawatan kerajaan dan GLC ingin menunding jari kepada parti komponen?,” katanya kepada Xklusif, hari ini.

Menurutnya, Lokman harus faham bahawa bagi MIC dan MCA, menganggap BN sebagai keluarga.

“Memang susah untuk kami mengharapkan ikatan kekeluargaan yang sama daripada kamu (Lokman) yang juga bekas ahli PKR yang dipecat.

“Ia agak kelakar apabila katak politik pula yang menunding jari kepada orang lain. Antara kenyataan yang dibangkitkan ialah MIC tidak menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional dan UMNO memikul kami seperti biawak hidup,” katanya.

Sehingga 2007, menurut Thinalan, MIC telah menyumbang dengan penuh kepada BN sehingga beberapa tindakan UMNO yang telah mengguris sensitivi masyarakat India.

“MIC dilabelkan sebagai hamba UMNO dan UMNO juga tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperbetulkan keadaan sehingga Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

“Pelbagai masalah yang dipinggirkan oleh kerajaan mencapai penyelesaian pada masa tersebut. Dahulu, UMNO yang menerima semua peluang, kini UMNO juga yang menerima semua peluang, namun yang dipersalahkan MIC dan MCA?

“Konsepsi rakyat masih tidak berubah banyak disebabkan kenyataan kurang sensitif sama seperti yang cuba diunjurkan oleh Lokman yang biadap dan kurang ajar,” katanya.

Menurut Thinalan lagi, kenyataan MIC tidak menyumbang kepada kemenangan BN adalah tidak benar sama sekali dan mungkin Lokman lupa dengan Pilihan Raya Kecil Negeri Melaka dan Johor.

“Jika, Lokman terus mengeluarkan kenyataan sebegini, maka kepercayaan masyarakat India terhadap BN akan berkurangan dan rakyat akan memberi jawapan mereka dalam pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Jika berat sangatlah beban untuk memikul MIC, berbincanglah dengan Presiden UMNO dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN.

“Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, beliau ingin mengeluarkan kenyataan sinis. Beliau sendiri tidak mampu menang pilihan raya yang ditandinginya, kini ingin mengata orang lain pula,” katanya.

Thinalan berkata, MIC hanya boleh berharap Lokman jelas mengenai sejarah BN yang memang sukar bagi katak politik untuk memahami dan komitmen parti komponen.

“Daripada membuang masa mengeluarkan kenyataan yang kurang bertanggungjawab, lebih baik kita bersatu teguh. Jangan disebabkan kamu seorang, kita bercerai roboh,” katanya. — Xklusif

 

Artikel Berkaitan

Back to top button