MIC: Terima kasih atas pelawaan tetapi…

KUALA LUMPUR 7 Julai – MIC tidak dapat mempertimbangkan tawaran untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) buat masa ini.
Perkara itu kerana MIC terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi Pusat (MT) parti dalam menghadapi PRN di enam buah negeri pada Ogos nanti.
Itulah jawapan presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kepada tawaran Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mencadangkan supaya MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta menyertai PN dalam menghadapi PRN yang bakal menjelang.
MT MIC pada 30 Julai lalu memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai PRN.
Keputusan tersebut diumumkan parti itu dua hari lalu.
Sehingga kini dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC telah menarik diri daripada PRN itu.
“Kami ucapkan terima kasih atas pelawaan itu tetapi kita kena akur dengan keputusan MT MIC untuk tidak menyertai PRN tersebut.
“Seperti diketahui umum, MIC memiliki hubungan baik dengan PAS dan BERSATU kerana pernah bekerjasama dalam membentuk kerajaan sebelum ini, tetapi bukan untuk kali ini.
“MIC tidak dapat mempertimbang pelawaan Sanusi ketika ini kerana parti sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN kali ini,” katanya.
PAS dan Bersatu adalah komponen terbesar PN.
Vigneswaran juga menjawab pandangan Sanusi agar MCA dan MIC meninggalkan BN serta menyertai PN yang mana parti pembangkang itu tidak keberatan memberikan kerusi kepada dua parti itu untuk bertanding dalam PRN.
“Ini bukan isu meninggalkan BN, isunya ialah jika kita hendak menyertai pilihanraya negeri atau sebaliknya.
“Tidak timbul isu MIC akan meninggalkan BN kerana perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan, meskipun kita membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN di enam buah negeri bulan depan,” katanya. — Xklusif