Berita

MINDEF bakal sedia ‘Laluan khas’ untuk 100 anggota Palapes menyertai Angkatan Tentera setiap tahun

Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyediakan 100 laluan khas setiap tahun kepada graduan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti awam yang mahu menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk menebus sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan berkenaan.

Terdahulu Khaled, telah menghadiri Program Executive Lecture yang diadakan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak hari ini.

Program ini merupakan kerjasama antara Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dan Markas Angkatan Tentera Malaysia – Bahagian Mobilisasi Angkatan Simpanan (MATM-BMAS), bersempena dengan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-42 yang dijadualkan pada 21 September 2024.

Dalam program ini, Menteri Pertahanan memberikan pendedahan kepada Pegawai Kadet PALAPES mengenai kepentingan Angkatan Sukarela dalam menyokong konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) Negara. Program ini bertujuan untuk memperkasakan jati diri PALAPES serta memahami pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS).

Agenda utama program adalah untuk mengukuhkan sokongan terhadap Angkatan Tetap dalam menghadapi ancaman, serta memacu PALAPES untuk terus berkhidmat sebagai Pegawai Sukarela. Ini diharapkan dapat memanfaatkan kepakaran yang dimiliki oleh mereka dalam menyokong HANRUH negara.

Semasa program, Menteri Pertahanan juga menyempurnakan Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) kepada beberapa Naib Canselor universiti, termasuk Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan bin Abu Osman dari Universiti Malaya dan Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan bin Mohamad Sadullah dari Universiti Putra Malaysia.

Hadir dalam program ini termasuk Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy bin Ithnain, dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, serta pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.

Artikel Berkaitan

Back to top button