Minyak masak subsidi di Kelantan masih cukup
KPDN Kelantan menegaskan tidak timbul isu minyak masak subsidi tiada dijual di premis runcit atau borong.

KOTA BHARU 14 Sept. – Bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini sentiasa mencukupi dan tidak timbul isu barangan itu tiada dijual di premis runcit atau borong.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Azman Ismail, berkata 18 syarikat pembungkusan semula di negeri Kelantan menerima kuota minyak masak masing-masing setiap bulan.
“Semua syarikat pembungkusan semula ini akan menerima kuota masing-masing antara 28 tan metrik sehingga 500 tan metrik setiap bulan.
“Apabila kuota itu habis dibekalkan kepada pemborong, mereka perlu menunggu bulan seterusnya untuk mendapatkan bekalan lain dan sementara itu, pemborong boleh mendapatkan minyak masak bersubsidi itu di syarikat lain.
“Tidak timbul isu bekalan minyak masak terputus kerana masing-masing sudah menerima kuota malah pasukan kami setiap hari membuat penyelarasan pengagihan kepada premis perniagaan yang mempunyai lesen sah berniaga borong atau runcit yang ditetapkan KPDN di seluruh Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini.
Azman berkata, isu minyak masak terputus bekalan hanya timbul di pihak peruncit atau pemborong yang tidak memiliki lesen borong atau runcit.
Menurutnya lagi, siasatan yang dilakukan tiga hari lalu terhadap enam premis runcit mendapati lima daripadanya tidak memiliki lesen runcit sekaligus gagal mendapatkan stok minyak masak daripada pemborong.
“Pemborong wajib jual kepada peruncit yang ada lesen danECOSS (Skim Penstabilan Harga Minyak Masak) kerana jika tiada ECOSS, pemborong tak akan dapat subsidi.
“Apabila kita minta mereka daftar lesen (borong atau runcit), mereka enggan, jadi kita tak boleh nak bantu. Bagaimanapun, bekalan minyak masak di premis besar seperti pasar raya tetap ada,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, KPDN negeri Kelantan berjaya merampas 2,308 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dengan anggaran nilai RM46,454 dalam sebuah bengkel membaiki lori di Pasir Puteh, dekat sini, petang kelmarin.
Azman berkata, serbuan dilakukan di ruang belakang bengkel membaiki lori di Cherang Tuli jam 2 petang itu turut menemui 12 tong plastik berpelekat bahan kimia dengan kandungan 64kg minyak masak.
“Soal siasat terhadap pemilik bengkel yang juga wanita berusia 65 tahun memberitahu dia memperoleh bekalan minyak masak daripada Besut, Terengganu dan memberi alasan menjual barangan subsidi itu kepada peniaga pisang goreng.
“Bagaimanapun kita syaki ia ada kaitan dengan penyelewengan walaupun minyak masak paket itu diisi semula dalam tong plastik yang berpelekat bahan kimia, dipercayai untuk mengaburi pandangan pihak berkuasa,” katanya. — Berita Harian