Jelajah Peduli Ummah anjuran MAPIM santuni lebih 2,000 penduduk Sungai Besar
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan Program Santuni Madani & Jelajah Peduli Ummah di Sungai Besar, Sabak Bernam.
Program selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu bertujuan menyemai semangat madani dan perpaduan masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan kemanusiaan. Setakat ini Misi Jelajah Peduli Ummah MAPIM telah berjaya menyantuni hampir 40,000 individu di Semenanjung Malaysia setakat ini.
Antara aktiviti utama yang dirancang termasuk pemeriksaan kesihatan melalui Klinik Bergerak, penyediaan jamuan oleh Dapur Bergerak, serta sesi ziarah asnaf di kawasan sekitar. Selain itu, pameran pendidikan, liga futsal dan kursus pengurusan jenazah turut dianjurkan.
Program ziarah kemanusiaan yang dianjurkan menyantuni lebih 2,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, termasuk Melayu, India dan Cina, di kawasan kampung nelayan serta kampung sekitar.
Sebanyak 50 keluarga telah diziarahi, manakala bantuan berupa 300 kotak keperluan disalurkan oleh MAPIM Malaysia. Selain itu, sebanyak lebih 4,000 hidangan disediakan sepanjang tiga hari program kepada masyarat setempat. Manakala khidmat klinik bergerak telah memberikan rawatan kepada hampir 200 individu, sekali gus memperlihatkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti setempat.
Menurut Pesuruhjaya Kehortmat, Ketua Aktivis Kemanusian MAPIM, Dr. Sani Araby Al Kahery, “Program Santuni Madani & Jelajah Peduli Ummah ini adalah usaha kami untuk membawa mesej kasih sayang, perpaduan, dan solidariti di seluruh negara. Kami percaya dengan adanya kerjasama erat antara agensi-agensi, NGO, dan masyarakat, kita dapat melaksanakan misi kemanusiaan ini dengan lebih berkesan. Matlamat kami adalah untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir dan bantuan dapat disampaikan kepada golongan yang memerlukan.”
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan dakwah bil hal yang diambil dalam program ini. “Kami ingin memperkenalkan konsep Malaysia Madani melalui pendekatan santai yang mengutamakan tindakan, bukan sekadar kata-kata. Inilah cara terbaik untuk menyampaikan mesej Islam yang sebenar – melalui kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama insan,” tambah beliau.
Hidayat Abdullah, Pengarah Program, turut menyatakan, “Kami berasa amat teruja dengan pelaksanaan program kali ini yang membawa pendekatan berbeza dan lebih inklusif. Setiap aktiviti dirancang dengan teliti bagi memastikan penyertaan aktif dari semua lapisan masyarakat. Dengan pelbagai inisiatif seperti ziarah asnaf dan klinik bergerak, kami berharap dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada penduduk setempat.”
Beliau juga mengajak lebih ramai sukarelawan untuk terlibat dalam program ini. “Inilah masa untuk kita sama-sama berganding bahu, bukan sahaja untuk membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat,” ujar Hidayat.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata seramai 3,000 sukarelawan dan 20 aset digerakkan menerusi Jelajah Peduli Ummah ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, khususnya yang ditimpa musibah.
Turut hadir sama dalam program pada Ahad, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohd Ajib Ismail.
Sementara itu, Mohd Ajib berkata program selama tiga hari bermula Jumaat lepas itu antara lain melibatkan kursus penyembelihan, rewang perdana, penyampaian bantuan persekolahan, sumbangan masjid, surau dan sekolah serta pelbagai aktiviti lain dengan pendekatan Dakwah Bil Hal selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
MAPIM Malaysia mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan berharap program ini dapat memperkukuhkan hubungan silaturrahim serta menyemarakkan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat setempat.