Dunia

Misi menyelamat di Gaza terhenti, Israel sekat bahan api – PBB

Ini berlaku ketika Israel menyekat bekalan bahan api dengan mengatakan bahawa Hamas menyimpan minyak diesel

KUALA LUMPUR 27 Okt – Agensi PBB Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata usaha menyelamatkan nyawa di Gaza yang terkepung telah terhenti akibat bahan api “hampir kehabisan sepenuhnya”, selepas 17 hari berlaku keganasan.

Ini berlaku ketika Israel menyekat bekalan bahan api dengan mengatakan bahawa Hamas menyimpan minyak diesel.

Tiga sekolah PBB, yang menjadi tempat perlindungan orang awam mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel di kawasan berdekatan.

UNRWA berkata seorang individu yang berlindung di sekolah PBB terbunuh manakala 15 lagi cedera akibat serangan itu.

Sejak keganasan di Palestin dan Israel tercetus pada 7 Okt, seramai 39 kakitangan UNRWA terbunuh manakala 42 kemudahan rosak.

Agensi itu berkata kira-kira 629,000 orang pelarian berlindung di 150 kemudahan UNRWA.

Serangan merosakkan sekolah, masjid, gereja, bangunan kediaman dan hospital.

Laporan UNRWA mengenai keadaan yang teruk itu dikeluarkan ketika Setiausaha Agung PBB Antonio Gutteres mengadakan sidang akhbar untuk menjawab kenyatannya yang dikatakan disalah tafsir sebagai mewajarkan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt, yang menyaksikan 1,400 kematian dan lebih 200 dijadikan tebusan.

Ini selepas ucapannya di PBB pada Selasa, di mana dia mengatakan pengeboman berterusan Israel di Semenanjung Gaza, membunuh ramai orang awam dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Israel menggesa Setiausaha Agung PBB itu meletakkan jawatan dan mengatakan akan menolak pengeluaran visa semua pegawai PBB sebagai respons terhadap ucapan Gutteres.

Dalam ucapannya, Gutteres mengutuk serangan Hamas dan pengeboman Israel, kerana tidak menghiraukan nyawa orang awam.

Dia juga berkata walaupun tidak wajar, serangan 7 Okt itu “tidak berlaku secara terpisah” dan rakyat Palestin telah mengalami “pendudukan yang menyesakkan” selama beberapa dekad.

Bayi, wartawan, doktor terbunuh

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, kira-kira 7,000 orang meninggal dunia di Gaza. Kementerian berkenaan juga menerbitkan nama mereka, lapor Al Jazeera.

The Guardian melaporkan antara mereka yang terbunuh dalam serangan Israel adalah doktor, wartawan, penyair, pelajar, penulis, kanak-kanak prasekolah dan bayi.

Seluruh keluarga turut terbunuh dalam serangan itu, yang dilaporkan mengorbankan ratusan setiap hari, lapor Guardian.

Antara yang terbunuh ialah isteri ketua biro Arab Al Jazeera Wael al-Dahdouh, anak lelakinya Mahmoud, 15, anak perempuan Sham, 7, dan cucu, Adam, 18 bulan, yang berlindung di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Mereka dipindahkan dari utara Gaza berikutan amaran Israel supaya orang awam bergerak ke selatan untuk mengelakkan serangan tentera.

“Tiada tempat selamat di Gaza,” kata al-Dahdouh.

Al Jazeera mengutuk pembunuhan dan “serangan sewenang-wenang” Israel.

Israel memberi alasan ia menyasarkan pejuang Hamas di kawasan itu.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sekurang-kurangnya 24 wartawan terbunuh dalam keganasan di Palestin dan Israel.

Bantuan mengalir masuk

Sementara itu, bantuan masuk secara perlahan-lahan ke Gaza melalui persimpangan sempadan Rafah yang dikongsi Palestin dengan Mesir.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata ia menerima sejumlah 74 trak bantuan sejak bermula konflik tetapi bekalan minyak tidak dibenarkan masuk.

Israel telah memotong bekalan bahan api, elektrik dan kebanyakan bekalan air ke wilayah itu sejak pusingan terbaru keganasan bermula.

PBB berkata sebelum tercetus konflik, ia menghantar kira-kira 100 trak bantuan setiap hari ke Gaza, yang telah disekat oleh Israel dan Mesir sejak 2005.

Gutteres menyifatkan jumlah bantuan yang memasuki Gaza sebagai sangat tidak mencukupi.

Sekatan itu dilaksanakan dengan tujuan untuk menghalang penyeludupan senjata ke Gaza selepas Hamas mengambil alih wilayah itu pada 2007. – Agensi

Artikel Berkaitan

Back to top button