Berita

Miskin tegar di Perak turun 51 peratus

Kejayaan itu hasil daripada Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak.

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak membuahkan hasil apabila berjaya menurunkan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar sehingga 51 peratus.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, satu Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak telah dilaksanakan dengan mengumpulkan sebanyak 53 agensi melibatkan pelbagai jabatan serta agensi pemberi bantuan dan agensi pelaksana di peringkat daerah.

Menurutnya, hasil dapatan bengkel tersebut antaranya adalah dengan mengunci data KIR miskin tegar pada Januari 2023 dan memberikan sepenuh fokus serta usaha dalam memastikan data tersebut berjaya dikurangkan seterusnya dapat menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

“Pemantauan khusus oleh pentadbiran daerah dengan kerjasama erat oleh semua agensi dan jabatan pemberi bantuan di negeri ini, jumlah data KIR miskin tegar yang telah dikunci iaitu seramai 9,402 KIR telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan di mana telah berlaku penurunan sebanyak 51 peratus dengan jumlah terkini sehingga 18 November 2023 yang menjadikannya seramai 4,819 orang.

“Selain itu perhatian turut diberikan dalam merangka mekanisme pembasmian kemiskinan yang bersesuaian supaya ia selari dengan matlamat dan hasrat kerajaan bagi mengenal pasti isu serta permasalahan di setiap daerah dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya kepada pemberita ketika menjawab soalan lisan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin (PN-Chenderoh) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Saarani berkata, lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak telah dilaksanakan dalam menyantuni golongan sasar berkenaan dengan bantuan jabatan dan agensi pemberi bantuan.

Menurutnya, antara program termasuklah Taskforce Mobile Team, program keusahawanan, kursus-kursus kemahiran, bantuan perniagaan dan sebagainya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan jabatan mahu pun agensi di peringkat persekutuan dalam memastikan segala jenis pakej bantuan yang ditawarkan dapat dinikmati secara optimum kepada golongan sasar di negeri ini.

“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang giat mengumpulkan nama dari setiap daerah yang tergolong dalam kategori miskin tegar untuk menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Salah satu daripada empat inisiatif yang ditawarkan iaitu Inisiatif Basmi Miskin Tegar (BMT) dilihat sesuai untuk dipadankan kepada golongan ini di mana peserta yang layak akan dibantu melalui projek penambahan pendapatan mengikut kemahuan dan minat peserta tersebut,” katanya.

Jelasnya, usaha itu merupakan salah satu bukti kukuh bahawa kerajaan negeri sedang giat menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 melalui Flagship 6 iaitu Membasmi Miskin Tegar menjelang tahun 2025. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button