Berita

Miskin tegar hampir tiada di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan

Namun, Anwar mengakui masih ada laporan mengenai keciciran jumlah miskin tegar di dua negeri berkenaan.

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Usaha kerajaan ke arah menoktahkan miskin tegar di negara ini semakin hampir, dengan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan berjaya mencapai sasaran itu tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun beliau mengakui masih ada laporan mengenai keciciran jumlah miskin tegar di dua negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah miskin tegar yang tercicir itu tidak ramai.

“Kemiskinan tegar ini sudah dinoktahkan di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan, namun masih ada satu dua keciciran,” katanya ringkas ketika ditemui selepas pelancaran Program Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Putra Malaysia UPM, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan yang dilaksanakan tahun lalu.

Kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapuskan miskin tegar adalah menjelang 2025, namun disingkatkan kepada tahun ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

Jemaah menteri sertai pemukiman mulai esok

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan menyertai sesi pemukiman kali kedua hari ini dengan tumpuan utama kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara.

Beliau berkata, pemukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar yang dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lalu.

“Kita akan lihat juga ke hadapan ini, apa lagi pelaksanaan dasar yang boleh bawa kita terus maju ke hadapan, apa langkah spesifik yang diperlukan.

“Kita sudah ada prakarsa dari segi peralihan tenaganya (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara), transformasi digitalnya, pelaburan tetap dan (sekarang) kita nak cari benda baharu untuk tingkat kekuatan negara,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata satu sesi pemukiman Perdana Menteri bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan diadakan selama dua hari di Cyberjaya bermula hari ini.

Sesi pemukiman pertama Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri berlangsung di Putrajaya pada Januari tahun lalu, antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button