Berita

Mohamad Sabu akan jumpa India, bincang isu sekatan eksport beras putih

Mohamad Sabu berkata, pertemuan itu bagi memohon kerajaan India untuk teruskan eksport beras putih ke negara ini.

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani India secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai isu sekatan eksport beras putih.

Mohamad Sabu berkata antara inti pati dalam pertemuan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) itu adalah bagi mengemukakan permohonan kepada kerajaan India untuk meneruskan pengeksportan beras putih mereka ke negara ini.

“Di peringkat kementerian sekarang, kita sedang ‘berhubung’ kalau dapat tarikh, barulah kita dapat pergi ke sana sebab kita nak berbincang secara G2G. Kalau boleh dalam minggu ni dia beri tarikh pun, kita boleh pergi.

“Kita akan minta mereka meneruskan eksport beras putih ke Malaysia. Itu harapan kita sebab kalau mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia akan membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sebuah hotel, malam tadi.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut perincian perbincangan beliau yang akan bertemu Menteri Pertanian India susulan isu sekatan eksport beras putih oleh negara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata sekatan tersebut telah menyebabkan harga beras eksport di negara ini meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan kebanyakan pengguna beralih kepada beras tempatan hingga berlaku sedikit kekurangan di beberapa tempat.

“Tetapi kita atasi sekarang dengan tuaian yang berlaku di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang akan dikeluarkan dalam masa tidak sampai sebulan ini, beras akan berada di pasaran dan sekarang pun kita ada cuba untuk tampung mana-mana yang berlaku kekurangan,” katanya.

Pada Julai lepas, India dilaporkan melarang eksport beras putih bukan basmati untuk mengekang kenaikan harga beras dalam pasaran domestik susulan kekurangan bekalan disebabkan hujan lebat yang telah menjejaskan tanaman itu. — Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button