Mohamad Sabu jamin harga beras tak naik
Mohamad Sabu berkata harga beras akan kekal RM2.60 sekilogram.

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Mohamad Sabu memberi jaminan tiada kenaikan harga bagi beras tempatan.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, harga beras import pula bergantung kepada pasaran.
“Yang penting, harga beras tempatan tidak naik, kekal dengan RM26 sekampit atau RM2.60 sekilogram,” katanya menurut Harian Metro selepas sesi dialog Belanjawan 2024 KPKM bersama pemain industri di bawah subsektor padi dan beras di Serdang.
Berhubung dakwaan penukaran kampit beras tempatan kepada beras import, Mohamad berkata: “Kalau ada, sila bawa bukti, aduan rasmi.”
Mengenai sesi dialog itu, katanya, rata-rata pemain industri dan pihak berkepentingan membangkitkan isu subsidi dan pengairan padi kurang sempurna.
“Maka, mereka menuntut kalau nak naikkan hasil padi, pengairan mesti sempurna serta kerajaan kena mengawal terutama harga racun, harga baja dan sebagainya untuk mereka mengeluarkan ‘output’ lebih baik pada masa akan datang.”
Sementara itu, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Azman Mahmood mengakui ada kenaikan harga beras import di pasaran.
Katanya, ia susulan langkah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyelaras harga jualan beras putih import kepada RM3,200 per tan metrik mulai 1 Sept lalu, selain pasaran dunia turut menyaksikan kenaikan harga beras import. — Xklusif