MP Bersatu sokong Anwar kini jadi MP zombie
Bersatu ketika menjadi kerajaan menolak peruntukan dalam draf asal rang undang-undang antilompat yang menyebabkan parti itu kini berdepan dengan masalah.

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Bekas pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin mendakwa Bersatu ketika menjadi kerajaan menolak peruntukan dalam draf asal rang undang-undang antilompat yang menyebabkan parti itu kini berdepan dengan masalah.
Dakwa bekas menteri kesihatan itu, pemimpin Bersatu bertegas menolak klausa yang memerlukan ahli parlimen mengosongkan kerusi mereka jika mereka bertentangan dengan prinsip dan pendirian ketua whip parti mereka di Dewan Rakyat.
“(Menurut draf asal seseorang ahli parlimen itu) dianggap bahawa telah melanggar undang-undang dan kena kosongkan kerusi mereka.
“Tahu tak ironi dia? Bila dibawa ke jemaah menteri untuk dibincang draf ini, antara yang paling lantang menentang draf ini adalah ahli-ahli parlimen daripada Bersatu.
“Ahli-ahli adalah menteri-menteri daripada Bersatu. Menteri-menteri daripada Bersatu, daripada PN sekarang.
“Atas alasan mereka tak nak bagi kuasa terlalu besar kepada parti,” kata Khairy pada episod terbaru rancangan Keluar Sekejap.
Khairy berkata bekas menteri yang sama telah menjadi “mangsa” kepada draf rang undang-undang versi yang mereka diluluskan pada akhirnya, yang kini dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
“That is a cruel irony of life. Kita pujilah (menteri undang-undang ketika itu) Tan Sri Wan Junaidi (Tuanku Jaafar) kerana mempunyai pandangan jauh tutup lompong ini.
“Tapi lompong ini tertinggal besar dia punya lubang dan tak ada apa yang PN boleh buat.
“Sebab sekarang ini ahli-ahli parlimen ini akan jadi ahli parlimen ‘zombie’.
“Maknanya dia Bersatu tak boleh pecat dia, dia tak boleh masuk ke PH, PN.
“Dia cuma hidup macam itulah, hidup ‘zombie’ dan dia akan dapat peruntukan. Itu saja,” kata Khairy lagi.
Bersatu kelmarin menggesa akta antilompat parti dikaji semula berikutan empat ahli parlimennya mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang itu perlu dikaji semula kerana ia mempunyai beberapa kelemahan.
Empat ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzukarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli) menyuarakan sokongan kepada Anwar tetapi pada masa sama kekal dalam parti itu. — Xklusif