Politik

MP Gua Musang mengaku masih ahli PN

Mohd Azizi juga mengakui keputusannya menyokong PM atas kerelaan sendiri.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – “Saya masih ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN)”, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Sebagaimana terpampang di skrin (di Parlimen), saya masih ahli Parlimen PN.

“Saya juga mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan. Saya mengakui kenyataan itu daripada saya sendiri tanpa ada unsur paksaan atau sebaliknya,” katanya sebelum mengemukakan soalan kedua pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi pagi itu, Mohd Azizi Abu Naim meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap Notis Petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina dan anaknya yang dilihat sebagai usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 serta apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan bagi memastikan undang-undang berkaitan syariah terus terpelihara.

Di samping itu, Mohd Azizi turut memberitahu, keputusannya adalah ikhlas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Sebelum ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, Mohd Azizi kini berada di blok kerajaan.

Media sebelum ini turut melaporkan, empat ahli Parlimen BERSATU mengalihkan sokongan mereka kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dua daripadanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober.

Kemudian, pada 7 November, Mohd Azizi mengambil langkah sama dan sehari selepas itu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik pula mengumumkan tindakan sama. — BH

Artikel Berkaitan

Back to top button