Berita

MP pembangkang sokong PM tak langgar Akta Anti Lompat Parti

Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Tindakan beberapa ahli parlimen (MP) pembangkang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan pimpinannya baru-baru ini tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini kerana kesemua ahli parlimen hanya menyatakan sokongan tanpa melompat atau keluar daripada parti politik masing-masing.

“Akta lompat parti itu bermaksud betul-betul lompat parti. Kalau kita baca perbahasan untuk mewujudkan akta antilompat parti ini pada sesi-sesi lepas, penekanan lebih kepada meninggalkan parti yang dia bertanding atas tiket parti tersebut tetapi hari ini, mereka menyatakan bahawa mereka tidak meninggalkan parti, hanya memberi sokongan.

“Jadi apa yang kita lihat di sini ialah dia bukan lompat (keluar parti), dia memberi sokongan dan kerajaan sudah dibentuk,” katanya ketika menjadi tetamu program Suara Anak Madani yang turut menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) semalam.

Bagaimanapun, Azalina yang juga ketua penerangan Umno berkata parti masih berhak mengambil sebarang tindakan akibat pelanggaran disiplin kerana ia tertakluk pada keputusan parti masing-masing.

Mengulas lanjut, dia berkata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang membawa usul akta itu tahun lepas turut menjelaskan bahawa tindakan menyatakan sokogan kepada kerajaan tanpa melompat parti tidak melanggar pindaan Perlembagaan yang berkaitan.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, yang mempunyai peruntukan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, berkuat kuasa pada 5 Okt 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai tahun sama.

Azalina turut menafikan segala tuduhan yang dilempar oleh pembangkang termasuk kerajaan telah memberikan sogokan kepada ahli parlimen terbabit sekali gus melanggar akta berkenaan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat pembangkang terbaru dan kelima menyatakan sokongan kepada kepimpinan perdana menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, Azalina meminta ahli parlimen pembangkang memberikan teguran atau kritikan lebih matang di Dewan Rakyat dan bukan hanya yang berkonsepkan kebencian atau ekstremis.

“Kita (amalkan) Sistem Westminster dan mempunyai kabinet bayangan. Kalau kita tembak dari segi dasar, saya rasa ia lebih adil, afdal sebab contoh menteri komunikasi bayangan kata kalau kami kerajaan, kami tidak akan buat sedemikian.

“Ia lebih kepada perbincangan intelektual dan bagi saya, rakyat Malaysia ini golongan berakal dan mereka boleh memilih,” katanya.

Suara Anak Madani adalah program bual bicara yang menampilkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai moderator serta tetamu-tetamu jemputan dengan gaya lebih santai bagi membincangkan dasar atau isu hangat.

Program itu ditayangkan di platform Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube Suara Anak Madani bersempena setahun penubuhan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button