MP pembangkang tetap terima peruntukan, bantuan – Rafizi
Rafizi berkata, ahli Parlimen pembangkang hanya perlu membuat permohonan dari kerajaan.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Kerajaan tetap memberikan peruntukan kepada kepada ahli Parlimen pembangkang dalam bentuk projek-projek dan bantuan terus kepada rakyat di sesebuah kawasan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menerusi catatan di X beliau berkata, mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu memohon peruntukan daripada kerajaan boleh terus mengisi borang dan nyatakan sebab permohonan itu dibuat.
Katanya, kerajaan membuka seluasnya kepada mana-mana wakil rakyat tanpa mengira kawasan sekiranya mereka mahu memohon peruntukan daripada kerajaan.
“Mereka boleh terus isi dan tunjuk sama ada jambatan, jalan atau longkang perlu dibaiki. Jadi peruntukan itu memang akan disalurkan terus kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, isu yang dibangkitkan pembangkang ialah peruntukan ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.
Menurutnya, secara prinsip kerajaan bersetuju untuk memberikan peruntukan tetapi perlu dirundingkan terlebih dahulu kerana melibatkan syarat untuk memastikannya selari dengan dasar tatakelola yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kerajaan tidak mahu peruntukan yang diberi (contohnya RM1 juta) tidak sampai kepada rakyat, akhirnya digunakan oleh sekelompok ahli parlimen dan geng masing-masing atau mengadakan program bagi tujuan politik,” katanya.
Rafizi pada masa sama mempertikaikan tindakan pembangkang tidak memulakan proses rundingan walhal kerajaan sudah menyerahkan surat kepada mereka bagi tujuan itu.
“Adakah dari awal lagi pembangkang takut dengan syarat-syarat tatakelola yang akan dikenakan yang menghalang mereka daripada berbelanja sesuka hati bagi tujuan politik daripada peruntukan wang rakyat itu?,” katanya. — Xklusif