Politik

MP Pendang digantung 3 hari dari hadiri Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim diarahkan keluar dari Dewan Rakyat dan digantung selama tiga hari oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md. Nor.

Keputusan dibuat selepas Awang tidak mahu menarik balik tuduhannya terhadap RSN Rayer dengan mendakwa Ahli Parlimen Jelutong itu sebagai anti Islam.

Ramli berkata, disebabkan berlaku tuduh menuduh antara Awang dengan Rayer, beliau meminta Awang membuat usul bagi memudahkan perjalanan majlis Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, suasana semakin panas setelah Rayer meminta Awang menarik balik tuduhan tersebut.

“Timbalan Speaker, saya minta dia tarik balik pasal saya anti Islam, thats not proper, tak betul.

“Apa yang saya katakan beliau telah nyatakan dalam dewan menjahanamkan enam orang,” kata Rayer dan disokong oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Zin.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, Ramli berkata, perlu mengharmonikan situasi di Dewan Rakyat agar tidak menuduh satu sama lain lalu meminta Awang menarik balik.

Namun, Awang sekali lagi menyatakan Rayer sebagai anti Islam dan tegas tidak menarik balik.

“Saya kekal dengan prinsip saya. Saya tak tarik balik” katanya.

Justeru, Ramli mengarahkan Bentara membawa Awang keluar dan digantung tiga hari.

Artikel Berkaitan

Back to top button