MP PN minta Anwar dedah negara ugut isu Palestin
Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak sanggup melihat Anwar ditekan dan diugut negara lain.

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan mendedahkan negara yang melakukan ugutan serta menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, pihaknya tidak sanggup melihat Anwar ditekan dan diugut seperti itu, lantas menyarankan nota bantahan dihantar kepada kedutaan negara terbabit yang berada di negara ini.
“Apabila kita dengar Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau menerima ugutan, ancaman, tekanan dan sebagainya, saya fikir menteri kena dedahkan negara mana yang berani menekan dan mengugut Perdana Menteri yang kita sayang ini.
“Kita tak sanggup melihat Perdana Menteri kita ditekan dan diugut seperti ini.
“Kalau mereka berani menekan perdana menteri kita, Malaysia harus menghantar nota bantahan kepada kedutaan negara mereka yang ada di negara ini,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan semasa pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar sebelum ini mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Katanya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.
Mengulas pertanyaan dilontarkan, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun tidak menamakan negara yang didakwa membuat ugutan itu, namun menegaskan negara tidak gentar dengan sebarang ugutan dilakukan oleh negara tersebut.
“Saya fikir dalam dewan ini elok kita tak namakan siapa mereka, tetapi seperti mana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri berkali-kali bahawa kita tidak gentar dengan sebarang ugutan yang dilakukan oleh pihak mereka,” katanya.
Zambry turut menyatakan perbezaan usaha dilakukan oleh Anwar berbanding Perdana Menteri sebelumnya berkait isu Palestin.
“Saya tidak nafikan apa yang dilakukan oleh pemimpin kita sebelum ini kerana Malaysia terkenal sejak tahun 1957 sebagai negara yang sentiasa memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
“Setiap Perdana Menteri mempunyai peranan mereka, tetapi dalam konteks Perdana Menteri (Anwar), beliau mengambil langkah yang lebih jauh untuk bersama dalam kalangan pemimpin-pemimpin Islam di seluruh dunia termasuk pemimpin-pemimpin daripada negara bukan Islam,” katanya. — Xklusif