Berita

MP PN persoal keikhlasan permohonan maaf pemimpin DAP

Pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham sebelum ini memohon maaf kerana mencadangkan bukan Islam dilantik ke jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Seorang anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan keikhlasan pemimpin DAP Ngeh Koo Ham yang memohon maaf kerana mencadangkan bukan Islam dilantik ke jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

Bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa ia taktik lama DAP yang berlaku berulang kali dan menjadi kebiasaan.

Katanya, pihak terbabit akan “melontarkan pandangan yang biadab dan mengancam perpaduan negara kemudian dengan sambil lewa menarik balik atau mohon maaf begitu sahaja”.

“Bersatu Bangi mengecam sikap ambil mudah oleh Anwar (Ibrahim ) dan kerajaan PH-BN yang sehingga hari ini tidak mengambil sebarang tindakan serius terhadap Ngeh dan DAP,” kata ketua Bersatu Bangi itu.

Sebelum ini Ngeh memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Katanya, dia tidak tahu bahawa jawatankuasa itu dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya tidak mencampuri urusan berkaitan Islam.

Sultan Sharafuddin bertitah MKI yang dipengerusikan baginda bertanggungjawab melaksanakan semua hal ehwal berkaitan umat Islam, serta dianggotai pakar pelbagai bidang, khususnya undang-undang dan agama Islam.

Dalam kenyataan hari ini, Wan Saiful turut mendesak pemimpin Umno supaya berhenti menjadi “pembela dan jurukempen DAP” di kalangan orang Melayu-Islam.

Sementara itu, Wan Saiful mendesak agar ada ketegasan dalam isu itu oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Katanya tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang sengaja menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R).

“Kedua, para pemimpin Umno perlu mengambil sikap tegas dan berusaha kembali menjadi jantan dengan cara menarik sokongan daripada Anwar sekiranya dia terus berlembut dengan kebiadaban DAP.

Sementara itu, sekumpulan aktivis PN semalam menyerahkan memorandum anti-Ngeh di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button