MP Tanjong Karang masih ahli Bersatu, tak mahu kosongkan kerusi
Dr Zulkafperi mempertahankan tindakannya menyokong Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mempertahankan tindakan beliau menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menegaskan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Rakyat tidak terjejas sama sekali.
Beliau juga menegaskan tidak perlu mengosongkan kerusi itu kerana beliau masih ahli parti berkenaan.
“Tidak benar itu (mengosongkan kerusi), saya masih kekal ahli parti BERSATU dan setia sebagai ahli BERSATU, cuma menyokong kepimpinan kerajaan semasa bagi dapat berfungsi sebagai Ahli Parlimen memandangkan rakyat terhimpit dengan sara hidup yang tinggi dan sangat terbeban dengan harga barang yang sangat mahal sekarang,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Mohd Rafiq Abdullah yang menyatakan mesyuarat khas parti itu memutuskan kerusi Parlimen Tanjong Karang menjadi sasaran utama parti untuk dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil (PRK).
Tindakan itu dakwa Rafiq selaras keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat kepada parti terutama mereka yang sudah membuat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahad lalu, dilaporkan Zulkafperi mungkin berhadapan tindakan undang-undang dan perlu membayar RM10 juta kerana melanggar SD yang ditandatanganinya November lalu, susulan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri.
Zulkafperi mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Selasa lalu dan menjadikan wakil rakyat keenam daripada parti itu berbuat demikian.
Beliau menyatakan keputusan itu diambil selepas menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara, selain menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.
Zulkafperi mengakui beliau ada membuat bai’ah tetapi bukannya akuan bersumpah seperti didakwa parti itu.
Justeru, katanya beliau tidak perlu membuat sebarang bayaran pampasan termasuk RM10 juta seperti yang tercatat dalam aku janji atau bai’ah yang beliau tandatangani November lalu.
Selain Zulkafperi, turut mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Susulan itu, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa 10 lagi ahli parti itu akan mengumumkan sokongan terhadap kerajaan menjelang persidangan Dewan Rakyat bermula pada 26 Februari nanti.
Syed Abu Hussin mendakwa, mereka yang terbabit termasuk lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka. — Berita Harian