Muatnaik hantaran hina PM Anwar, polis siasat Arun Dorasamy
Arun Dorasamy mempersoalkan tindakan Anwar mengislamkan seorang saudara baharu, baru-baru ini

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap aktivis Arun Dorasamy berhubung kenyataannya mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang saudara baharu, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki terbabit dipanggil memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman, semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes masih di peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan dan menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertindak sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
Terdahulu, media melaporkan Peguam Arun iaitu N Rajesh memaklumkan anak guamnya dipanggil polis untuk dirakam keterangan.
Rajesh dilapor berkata, Arun selesai memberikan kenyataan berhubung siasatan kes itu di Bukit Aman, di sini, semalam.
Pada Jumaat lalu, tular di laman sosial rakaman video berdurasi 1 minit 26 saat menunjukkan Anwar mengislamkan saudara baharu di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, Selangor.
Dalam rakaman itu, Perdana Menteri dipercayai mengajar saudara baharu itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum disambut laungan takbir oleh jemaah yang hadir.
Perkara itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan antaranya mengkritik tindakan Anwar yang didakwa tidak sesuai dilakukan secara terbuka dan kurang sensitiviti agama. — Xklusif