Politik

MUDA bakal bekerjasama dengan parti luar negara

Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda akan bekerjasama dengan Move Forward Party dan Partai Solidaritas Indonesia (PSI).

KUALA LUMPUR 20 Nov – Meski pun hanya memiliki satu kerusi Parlimen dan DUN, Muda memasang cita-cita ke peringkat antarbangsa dengan menjalinkan kerjasama dengan parti politik bermula dari rantau Asia Tenggara.

Pemangku presiden Amira Aisya Abdul Aziz berkata kerjasama itu dirancang dengan Move Forward Party dari Thailand dan Partai Solidaritas Indonesia (PSI).

Menurut Adun Puteri Wangsa itu, ia termasuk dalam rangka kerja 100 hari sebagai peneraju Muda selepas mengambil alih daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu melepaskan jawatan sehingga proses undang-undang membabitkannya selesai, keputusan diambil selepas Mahkamah Tinggi pada 9 Nov memutuskannya bersalah atas empat pertuduhan berkaitan rasuah.

“Kita dah berjumpa rakan Move Forward Party dan menerusi perjumpaan itu beberapa perancangan ke hadapan dibincangkan, akan ada perjumpaan sekali lagi bagi memeterai kerjasama secara rasmi,” katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, Amira berkata pihaknya akan melaksanakan pengukuhan dan rejuvinasi parti di peringkat dalaman bermula dengan semakan semula keahlian lebih 80,000 ahli parti itu.

Beliau juga memaklumkan Muda bakal mengadakan pemilihan parti pada penggal kedua 2024 bagi membolehkan kepimpinan parti mendapat mandat baharu daripada ahli.

“Melihat keadaan semasa, pemilihan parti perlu dibuat sebagai lembaran muda bagi Muda, mandat baharu akan menunjukan kematangannya dalam sistem politik berorganisasi,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button