MUDA kalah semua kerusi di Selangor, mahu jadi lebih matang
MUDA menganggap kekalahan sebagai isyarat untuk menjadi lebih baik

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seramai 14 calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) gagal memperoleh mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
Setakat ini, semua calon daripada parti itu kalah di tangan dua parti gabungan besar, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN).
Parti MUDA mempertaruhkan 14 calon di DUN Kuala Kubu Baharu, Taman Templer, Bukit Antarabangsa, Pandan Indah, Dusun Tua, Seri Serdang, Subang Jaya, Seri Setia, Bukit Gasing, Bandar Utama, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sentosa dan Sungai Kandis.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menghormati keputusan rakyat pada PRN kali ini dan akui pengalaman bertanding di Selangor secara solo bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ini adalah langkan pertama bagi perjalanan yang begitu panjang sekali, jadi kekalahan kali ini akan terus mematangkan MUDA dalam kisi kami untuk membina Malaysia maju dan dihormati.
“MUDA melihat daripada kekalahan ini sebagai satu isyarat untuk berkhidmat dengan lebih baik dan mendengar dengan lebih mendalamn isu yang dihadapi rakyat,” katanya dalam sidang media, malam tadi.
Selain MUDA, dua parti lain yang bertanding di Selangor dan gagal memenangi sebarang kerusi adalah Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
PRM dan PSM masing-masing mempertaruhkan lapan dan empat calon dalam PRN kali ini.
Secara keseluruhan, Selangor mencatatkan sejumlah 147 calon bagi merebut 56 kerusi DUN. — Xklusif