Politik

Muhyiddin anggap prestasi BN memalukan

Muhyiddin juga menegaskan Ahmad Zahid perlu letak jawatan.

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu melepaskan jawatan mereka sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Itu saranan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas melihat keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang dimenangi gabungan partinya hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu dilakukan Anwar dan Ahmad Zahid memandangkan PN berjaya menang 146 kerusi DUN di enam negeri yang ditandingi mereka.

Jelas beliau, kemenangan besar PN itu juga merupakan referendum penolakan rakyat terhadap pentadbiran Anwar dan Ahmad Zahid dalam Kerajaan Perpaduan.

“PN menang lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi DUN yang ditandingi di enam negeri dalam PRN kali ini.

“Malah, kita juga menyapu bersih semua kerusi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh, yang diketahui umum kubu kuat Anwar sebelum ini.

“Prestasi BN juga amat memalukan apabila hanya mampu menang 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman keputusan rasmi PRN oleh SPR hari ini.

Untuk rekod, PN menang 146 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) menang 80 kerusi diikuti BN sebanyak 19 kerusi.

PRN kali ini juga menyaksikan pentadbiran di keenam-enam negeri terlibat tidak berubah dan kekal dengan status quo.

Begitupun, PN berjaya meningkatkan jumlah kerusi di kubu kuat PH seperti Selangor (22 kerusi) dan Pulau Pinang (11 kerusi). — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button