Berita

Muhyiddin mohon lepas, bebas 3 tuduhan jenayah

Muhyiddin berdepan 3 tuduhan melibatkan penerimaan wang hasil aktiviti haram.

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada tiga lagi tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram dengan kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Perkara tersebut dinyatakan dalam permohonan terbaharu yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu pada Isnin lalu menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon, Mahkamah Sesyen mengetepikan kesemua baki tuduhan, selain memohon beliau dilepas serta dibebaskan.

Permohonan tersebut dibuat dengan alasan beliau sudah dilepaskan dan dibebaskan untuk kesalahan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Mahkamah Tinggi.

Muhyiddin seperti dilapor Berita Harian berkata, Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tidak berasas kerana tak mendedahkan kesalahan di bawah undang-undang.

Katanya lagi, oleh kerana pertuduhan yang menjadi kesalahan predikat tidak berasas, maka tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama dengan Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 juga adalah tidak berasas.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika itu membuat keputusan terbabit selepas mendapati keempat-empat pertuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tak jelas. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button