Muhyiddin punca rundingan peruntukan pembangkang gagal
Muhyiddin dilihat lebih rela tanggung risiko MP Bersatu menyokong Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR 1 Dis. – Keengganan pihak pembangkang berunding dengan kerajaan berkenaan peruntukan adalah berpunca daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu sebenarnya malu untuk berunding.
“Sudah tentu Muhyiddin malu jika PN berunding dengan Anwar Ibrahim pasal peruntukan wakil rakyat PN. Muhyiddin lebih rela tanggung risiko MP Bersatu sokong (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim.
“Lagi pun PN masih bernafsu untuk ambil alih Putrajaya melalui pintu belakang. Muhyiddin juga yakin dia boleh kembali jadi perdana menteri. Maka apa perlunya berunding?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Malah, paling utama Puad berkata ahli Parlimen Pagoh itu berasa amat malu dengan parti yang memecatnya daripada jawatan timbalan presiden sebelum ini.
“Muhyiddin rasa amat aib dengan Umno. Berunding dengan Anwar umpama mengemis pada Umno kerana Umno adalah co- pilot kerajaan perpaduan.
“Dia tahu Umno bukan penumpang,” katanya lagi.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mendakwa kerajaan PH-BN mengamalkan politik rimba kerana enggan menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Ini di sebalik penjelasan berulang kali kerajaan bahawa peruntukan hanya akan disalurkan selepas perbincangan dengan kerajaan.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang belum dapat ditentukan kerana Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin belum lagi berbincang dengannya.
Fadillah berkata disebabkan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih berharap Hamzah akan mengadakan perbincangan berhubung soal peruntukan itu terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dapat diambil.
Sebelum ini, Anwar mengulangi bahawa, peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan jika mereka bersedia untuk berunding dengan kerajaan.
“… runding dahulu, saya tidak pernah meletakkan syarat atau prasyarat untuk menyokong perdana menteri… tak perlu ada syarat menyokong perdana menteri.
“Ada beberapa peraturan (runding soal peruntukan dengan kerajaan) yang dilakukan dalam mesyuarat yang lalu (ketika PH menjadi pembangkang),” kata Anwar.
Malah Anwar menafikan bertindak zalim dengan menganaktirikan empat negeri diperintah PN dengan mengurangkan peruntukan. Sebaliknya, kata perdana menteri kerajaan pusat telah meningkatkan peruntukan berbanding sebelum ini. — Xklusif