Berita

Muhyiddin tak ambil langkah bayar hutang Felda sepenuhnya – Anwar

Dana juga tidak diberikan kepada agensi itu bagi membiayai hutang berkenaan.

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mengambil langkah diperlukan untuk menyempurnakan hapus kira hutang RM8.3 bilion peneroka FELDA dengan sepenuhnya atau memberi dana kepada agensi itu bagi membiayai hutang berkenaan.

Perdana Menteri ketika menjawab jawapan balas Muhyiddin yang difailkan 10 Oktober lalu menerusi saman fitnah ke atas Anwar berhubung isu itu berkata, beliau (Anwar) pada Jun lalu melaksanakan Perjanjian-Perjanjian Dana yang membolehkan peruntukan tahunan RM990 juta dana disalurkan dan diterima FELDA selama 10 tahun.

Katanya, ia antara lain juga bagi membolehkan pembayaran balik Sukuk oleh FELDA.

Beliau berkata, dana itu membolehkan FELDA memenuhi obligasi kewangan mereka, dan ia adalah untuk manfaat peneroka serta pada dasarnya membiayai atau menyempurnakan hapus kira hutang RM8.3 bilion.

Berikutan Perjanjian-Perjanjian Dana itu, katanya, geran tahunan pertama sebanyak RM990 juta sudah disalurkan kepada FELDA.

“Saya bersedia untuk memberi bukti saya sudah melaksanakan Perjanjian-Perjanjian Dana pada atau pada sekitar Jun 2023.

“Saya akan meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk memberikan bukti Perjanjian-Perjanjian Dana yang sudah ditandatangani oleh saya pada atau pada sekitar Jun,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam jawapannya terhadap pembelaan Anwar (defendan) pula mendakwa, defendan sengaja memanipulasi isu Sukuk FELDA sebanyak RM9.9 bilion dan geran kerajaan sebanyak RM990 juta setahun selama 10 tahun, dengan mengelirukannya sebagai Pelupusan Hutang Peneroka FELDA yang sudah dilaksanakan oleh beliau (Muhyiddin) pada 2021.

Muhyiddin selaku plaintif berkata, hutang FELDA berpunca daripada pinjaman kewangan oleh FELDA daripada institusi luar, manakala hutang peneroka berpunca daripada pinjaman kewangan oleh peneroka FELDA daripada FELDA.

Justeru, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, adalah jelas bahawa hutang FELDA dan Hutang Peneroka FELDA merupakan dua perkara berbeza.

“Sukuk FELDA sebanyak RM9.9 bilion serta geran kerajaan sebanyak RM990 juta setahun selama 10 tahun adalah langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah hutang FELDA, dan ini berbeza dengan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA yang sudahpun dilaksanakan.

“Tuntutan saya di sini adalah berkenaan pembohongan defendan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA.

“Oleh yang demikian, saya menegaskan dan akan menegaskan bahawa pernyataan pembelaan ini adalah pembelaan palsu, tidak berasas secara keseluruhan, serta suatu pemikiran kemudian (afterthought) yang amat mustahil dan tidak boleh dipercayai atau diterima dan sepatutnya ditolak sepenuhnya,” katanya.

Muhyiddin menerusi writ saman dan pernyataan tuntutannya terhadap Anwar mendakwa, Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan memfitnah yang membawa maksud beliau berbohong berkenaan isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Beliau berkata, kenyataan berbaur fitnah itu dikeluarkan melalui ucapan ketika sambutan ‘Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan 2023’ di Serdang, Selangor, 7 Julai lalu.

Sambutan itu disiarkan secara langsung melalui Facebook Live dalam halaman Facebook defendan dengan nama ‘Anwar Ibrahim’. — BH

Artikel Berkaitan

Back to top button